Penjawat awam didakwa amang seksual remaja OKU

Iklan
Tertuduh (dua dari kiri) selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, pada Khamis.

KOTA BHARU - Seorang pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah di sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja orang kurang upaya (OKU) pada November 2022.

Tertuduh, Mukfarnizan Mukhtar, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tandas sebuah sekolah di Kota Bharu pada jam 9 pagi, 24 November 2022.

Ketika kejadian remaja perempuan berkenaan berusia 14 tahun enam bulan.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohamed.

Iklan

Terdahulu, Ahmad Faiz memohon mahkamah memberi jaminan paling tinggi kerana perbuatan itu dilakukan terhadap remaja bawah umur yang juga OKU.

Ahmad Nizam bagaimanapun memohon jaminan RM5,000 atas alasan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah selain jaminan dari pihak pembelaan bahawa tertuduh akan mengikut syarat tambahan ditetapkan mahkamah.

"Tertuduh juga sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan masih menjalankan tugasnya," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tidak boleh mengganggu mangsa.

Hakim juga menetapkan 27 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!