Warga Nepal jadi 'tukang masak' dadah ditahan

Iklan
Hamzah (dua dari kanan) menunjukkan heroin base dan perkakas memproses dadah dalam sidang akhbar pada Khamis.

GEORGE TOWN - Seorang lelaki warga Nepal berusia 35 tahun yang merupakan 'tukang masak' dadah ditahan dalam sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki warga asing itu ditahan bersama dua lelaki lain termasuk seorang remaja berusia 17 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan pada jam 5.30 petang 20 Mei itu, polis turut merampas beberapa jenis dadah, bahan kimia dan peralatan memproses dadah di rumah berkenaan.

"Kita merampas 19 bungkus plastik yang mengandungi 8.47 kilogram (kg) dadah heroin bernilai RM81,300, 377 gram heroin base bernilai RM32,500 dan 9.5kg kafein bernilai RM3,200.

Iklan

"Polis turut menyita dua buah kereta, dua buah motosikal dan sebentuk cincin dalam tangkapan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Khamis.

Jelas beliau, jumlah rampasan dadah dan sitaan bernilai RM223,800.

Iklan

Hamzah menambah, tangkapan pertama melibatkan warga asing berkenaan yang kemudiannya membawa kepada tangkapan dua lelaki warga tempatan di dalam sebuah kereta.

"Warga Nepal berkenaan dipercayai mempelajari cara memasak dadah daripada dalang tersebut. Dia sebelum ini bekerja dengan majikan lain sebelum bekerja dengan suspek. Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan polis," katanya.

Beliau berkata, kesemua dadah berkenaan untuk pasaran tempatan manakala heroin base diperolehi dari Thailand.

"Sindiket ini bergiat aktif sejak penghujung tahun lalu. Dua daripada mereka positif dadah manakala hanya seorang mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah.

"Kesemua mereka direman sehingga 27 Mei untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!