Tiga jurulatih Palapes didakwa sebabkan kematian Syamsul Haris

Iklan
Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Jumaat.

KOTA TINGGI - Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian pelatih Palapes UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, pada tahun lalu.

Tertuduh, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Kapten Muhamad Bahauddin, 30, dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Syamsul Haris, 22, (ketika kejadian) dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara dalam daerah ini antara pukul 2 hingga 3 petang pada 28 Julai tahun lalu.

Iklan

Bagi pertuduhan tersebut, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan sebanyak RM50,000 bagi pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada pihak mahkamah.

Mohd Azmi, Muhamad Baharuddin dan Mohd Norbuangani dalam rayuannya memohon supaya wang jaminan dikurangkan kerana terlalu tinggi.

Azmi berkata, ini kerana dia yang berpendapatan RM9,000 sebulan menanggung tiga anak iaitu dua di sekolah menengah dan seorang lagi bayi berusia 23 hari.

Sementara Muhamad Bahauddin pula berpendapatan RM4,000 dan menanggung seorang anak dan isteri yang tidak bekerja.

Mohd Norbuangani pula memberi alasan berpendapatan RM3,000 dan mempunyai tanggungan tiga anak iaitu dua di sekolah menengah dan seorang lagi sekolah rendah.

Hakim Hayda Faridzal kemudian menetapkan RM25,000 untuk setiap seorang dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun Mohd Azmi yang turut mewakili Muhamad Bahauddin dan Mohd Norbuangani sekali lagi merayu supaya wang jaminan dikurangkan kerana mendakwa jumlahnya masih tinggi.

Tertuduh juga memberi alasan mereka sudah lama berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak pernah melakukan kesalahan disiplin sepanjang berkhidmat.

"Kami sudah berkhidmat lebih 20 tahun, kami tidak pernah dihadapkan ke mahkamah. Sebagai penjawat awam, kami bekerja dengan ikhlas, siang malam jaga kadet kami. Kami ada anak isteri. Kami akan pastikan kami akan hadir ke mahkamah, itu janji kami," katanya.

Hakim Hayda Faridzal kemudian memberitahu tuduhan dihadapi semua tertuduh adalah tuduhan berat, namun akan meringankan syarat penjamin seramai dua orang.

Hakim Hayda Faridzal kemudian menetapkan RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, lapor diri di balai polis berhampiran

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada pada 13 April ini bagi serahan dokumen, lantikan peguam, serahan dokumen dan kehadiran peguam pemerhati pihak keluarga mangsa.