Rayuan Fathul Bari ditolak, gagal pulangkan hampir setengah juta wang jemaah haji

Iklan
Mahkamah Tinggi menolak rayuan Ketua UMNO Kangar dan dua pengarah syarikat pelancongan atas penipuan RM500,000 daripada jemaah haji. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuan Ketua UMNO Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan dua pengarah serta pemegang saham syarikat pelancongan, untuk mengetepikan keputusan yang memutuskan mereka melakukan penipuan hampir RM500,000 daripada jemaah haji dan umrah, enam tahun lalu.

Ia berikutan keengganan mereka membayar semula bayaran kepada jemaah apabila perjalanan ke tanah suci, dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Selain Fathul Bari, dua lagi pengarah dan pemegang saham syarikat Rehla Travel Services Sdn Bhd selaku perayu ialah Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff.

Menerusi dokumen penghakiman yang dibuat pada 9 Disember tahun lalu, Hakim, Leong Wai Hong menyifatkan, kes itu sebagai kisah yang menyedihkan kerana sikap tamak pengarah dan syarikat terbabit.

Iklan

Sedangkan katanya, jemaah sanggup menyediakan sejumlah wang untuk memenuhi rukun Islam kelima tersebut.

Berdasarkan fakta kes, pada Februari 2020, KRS Travel Sdn Bhd selaku plaintif telah membayar RM492,480 kepada Rehla Travel untuk mendapatkan tiket penerbangan bagi jemaah haji ke Madinah dan Jeddah.

Iklan

Rehla Travel selaku ejen tiket berlesen untuk Malaysia Airlines Berhad (MAB) sejak 2019, telah membayar MAB untuk mendapatkan tiket berkenaan.

Malangnya, ekoran Covid-19, penerbangan itu dibatalkan namun MAB membuat bayaran balik secara penuh kepada Rehla Travel.

Bagaimanapun, tiga pengarah syarikat itu enggan memulangkan wang jemaah haji kepada KRS Travel.

Keterangan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan bahawa bayaran balik berjumlah RM1.33 juta dan RM492,480 itu telah diterima oleh Rehla Travel.

Susulan itu, plaintif berpendirian bahawa, wang RM492,480 berkenaan perlu dipulangkan semula kepada pelanggannya.

Bagaimanapun, defendan enggan berbuat demikian dengan menyatakan mereka hanya bertindak sebagai ejen tiket bagi MAB, malah bayaran itu telah dibuat kepada MAB.

Dalam keterangan, defendan menegaskan, plaintif sepatutnya mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan semula wang terhadap MAB dan bukannya terhadap Rehla Travel.

Semasa pemeriksaan balas, mereka mengaku menggunakan dana untuk tujuan peribadi dan sengaja menyembunyikan penerimaan wang tersebut.

Susulan itu, Hakim berkata, mahkamah mendapati tiada sebab untuk mengganggu fakta mahkamah rendah kerana terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong kesimpulan Mahkamah Sesyen.

Fathul Bari dan dua lagi pengarah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 8 Januari tahun ini.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen mendapati, penipuan telah dilakukan oleh defendan atas alasan wang jemaah yang dibayar oleh plaintif kepada Rehla Travel, yang kemudiannya disalurkan kepada MAB, sebenarnya telah dipulangkan oleh MAB.