SUNGAI PETANI - Walaupun sekadar ibu dan bapa angkat, namun 'chemistry' antara pasangan suami isteri dan 10 anak yatim perempuan yang dijaga cukup erat.
Apatah lagi, apabila Natipah Abu, 51, dan suami, Anizat Ahmad, 61, tidak membezakan kasih sayang serta melayani kerenah 10 anak dara itu yang dianggap bagaikan darah daging sendiri.
Natipah yang lebih mesra dengan panggilan 'Kak Pah' dalam dunia kesukarelawan dan aktif melakukan kerja-kerja amal sejak kira-kira 15 tahun lalu berkata, kesemua empat anak yatim piatu dan enam anak yatim bawah jagaannya itu ditempatkan di sebuah rumah dekat Kampung Guar Nenas, Gurun, Kedah.
"Ada antara mereka di sini merupakan anak asnaf yang pernah Kak Pah santuni suatu ketika dahulu, anak yatim piatu yang kisahnya sangat menyentuh jiwa dan mereka yang pernah melalui peristiwa hitam sehingga menghantui diri.
"Kita tempatkan mereka di sini bersama rakan senasib, beri pendidikan, kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, segala keperluan tempat tinggal dan persekolahan semuanya di bawah tanggunggan," katanya.
Ditanya sama ada pernah jatuh bangun dalam membesarkan kesemua remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun itu, Natipah yang juga merupakan Duta Muslim Care Malaysia dan Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh berkata, bukan sekali malah berkali-kali, namun, ubat paling mujarab ialah berbalik kepada Sang Pencipta memohon jalan keluar dan keampunan agar dipermudahkan segala kesulitan.
"Tipulah jika tak pernah 'down', dikecam dan dikritik sedangkan apa yang kita buat sekarang bukan berlandaskan keuntungan sebaliknya berbuat kebaikan sesama insan.
"Namun, memikirkan bagaimana nasib mereka jika menyerah kalah, Kak Pah teruskan juga kerja-kerja amal dengan seikhlas hati, bila kita reda, moga ALLAH hadiahkan sesuatu yang lebih baik, Insya-ALLAH,"katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata dan seorang cucu ini berkata, tiada 'gap' antara kesemua anak yatim yang dipelihara, sebaliknya mereka diasuh dan dididik seperti anak kecil yang dahagakan perhatian.
Malah, sejak bersara dari dunia pendidikan, suami yang banyak mengambil alih urusan persekolahan anak-anak yatim.
Menurut Anizat, sebagai 'bapa', dia sentiasa menasihati anak-anak mengutamakan pelajaran di mana dengan ilmu serta pendidikan sahaja mampu mengubah kehidupan serta pandangan dunia terhadap anak yatim.
"Saya sentiasa ingatkan mereka agar jangan jadikan alasan bahawa status yatim piatu untuk tidak mengecap kejayaan demi masa depan yang lebih cemerlang.
"Pentingnya juga pendidikan agama sebagai pegangan hidup, walaupun mak ayah sudah tiada, kita beri kasih sayang, bentukkan persaudaraan, keselesaan serta bimbingan agar tidak terpesong,"katanya.
Dengan keluasan tanah kira-kira 2.3 hektar yang dimiliki bersebelahan dengan rel kereta api dekat Kampung Guar Nenas, Anizat dan Natipah berhasrat membina sebuah bengkel jahitan yang mampu menjana pendapatan kepada operasi rumah anak yatim selain bergantung 100 peratus dari sumbangan orang ramai.
Selain itu, mereka juga aktif menanam pokok sebagai alternatif riadah membolehkan anak-anak yatim bebas tanpa sekatan, seolah-olah berada di halaman rumah sendiri.
Malah, pasangan sejoli itu tidak kekok melayani anak jagaan mereka dengan panggilan manja 'mak' dan 'abah' seperti sebuah keluarga lengkap yang sangat didambakan kebanyakan yatim piatu.
Selain kemudahan berbasikal, memancing dan berkebun, anak yatim diberi peluang menikmati ketenangan panorama indah suasana kampung yang jauh dari kesibukan kota.
Bersebelahan rumah anak yatim, Anizat turut membina Rumah Qaseh Budiman yang menjadi perlindungan kepada empat warga emas lelaki dan lima Orang Kurang Upaya (OKU) berusia antara 40 hingga 70 tahun berstatus sebatang kara.
Yatim piatu, Nur Fatiha Abu Bakar, 15, berkata, kebaikan dan kasih sayang mak dan abah, tidak mampu dibalas.
Dia bagaimanapun berazam untuk berjaya dalam hidup dan menjadi kaya agar mampu membantu lebih ramai orang yang memerlukan pada masa depan.
Selain itu, Siti Adawiyah Aziz, 17, berkata, berada di sisi Natipah dan Anizat adalah hadiah paling gembira yang pernah dirasai.
Begitu juga dengan Siti Nur Fahana Zamri, 17, yang merasakan menjadi paling bertuah kerana terpilih menetap di rumah anak yatim berkenaan sejak tiga tahun lalu.
"Satu dalam dunia, kasih sayang dari mak abah sangat berharga, syukur sangat terpilih, bagai langit dengan bumi kehidupan kami di sini berbanding tempat lain, 'I love you' mak," jelasnya mewakili rakan lain dengan kegembiraan terpancar di wajah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!