Kedah mohon RM200 juta atas komitmen kekal tanah sawah padi

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) pada pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menuntut bayaran sebanyak RM200 juta setahun atas komitmen mengekalkan tanah sawah sehingga kehilangan pendapatan demi menjamin sekuriti makanan negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau menyifatkan permohonan Kedah terhadap Kerajaan Persekutuan adalah berasas dan munasabah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, permintaan Kedah perlu dipertimbangkan memandangkan permohonan membangunkan tanah sawah bagi tujuan perumahan, industri dan komersial di negeri ini meningkat setiap tahun.

"Kita minta RM200 juta setahun. Jadi, cukai tanah jikalau kita bangunkan tanah (sawah) sedia ada yang diluluskan (lebih 10,000 hektar) dalam Rancangan Tempatan Daerah (RTD) setiap tahun, kita akan dapat RM100 juta (setahun) untuk tanah itu.

Iklan

"(Ada) peningkatan permintaan kepada tanah-tanah sawah padi ini untuk perumahan, industri dan komersial juga meningkatkan cukai tanah kita. Kita lepaskan kerana kita hendak simpan padi, hendak tanah itu ditanam padi demi menjamin (bekalan makanan).," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Iklan

Muhammad Sanusi mempersoalkan bagaimana Kedah hendak mengimbangi kehilangan hasil dengan permintaan terhadap tanah untuk aktiviti selain daripada padi.

Disebabkan itu, beliau berkata, Kedah memohon bayaran sebanyak RM200 juta setahun yang disifatkan wajar atas pengorbanan dilakukan Kedah untuk menjamin sekuriti makanan negara.

"Selepas ini, akan berlaku peningkatan permintaan (tanah sawah dikomersialkan) lagi, kita (Kedah) akan lepaskan lagi (RM200 juta) dipanggil kos melepaskan dalam ekonomi. Benda yang kita lepaskan untuk buat satu benda lain," katanya.

Jelasnya, Kedah terpaksa melepaskan semua cukai pembangunan berjumlah sebanyak RM1,000 setiap hektar berbanding hanya RM15 sehektar untuk mengusahakan sawah.

"Kita optimis perkara-perkara ini dipersetujui (dan) dicapai persetujuan antara negeri dan pusat, barulah berlaku keharmonian. Tidaklah, satu negeri dipaksa berkorban terlalu besar untuk kemajuan negeri lain," katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, Kedah diminta menanam padi sahaja, sekaligus tidak adil untuk membuat perbandingan Kedah sebagai negeri miskin.

"Sampai masa dibuat perbandingan, kata kita miskin, miskin lah hang suruh aku tanam padi. Cukai tanah sawah padi, satu hektar RM15, cukai untuk tanah industri, satu hektar RM1,000.

"Itulah yang kita lepaskan, bila saya kata kita dimiskinkan, orang marah, itulah satu jenis paksaan. Kita diarahkan untuk menjadi miskin (tanam padi) tapi orang tak faham," katanya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan harapan supaya Kerajaan Persekutuan untuk sama-sama berkongsi tanggungjawab bersama-sama melindungi bekalan makanan negara.

Pada 4 Mei lepas, media melaporkan Kerajaan Persekutuan sedia membenarkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menukar status kawasan sawah kepada kegunaan komersial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi membuat permintaan itu untuk meningkatkan pendapatan Kedah yang bergantung kepada hasil pertanian sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!