Warga asing tiada lesen diupah jadi pemandu bas

Iklan
Antara bas pekerja yang ditahan untuk pemeriksaan JPJ Selangor dalam Op Bas Pekerja di sekitar Shah Alam, pada Isnin. Foto JPJ Selangor

SHAH ALAM - Mahu jimat kos menjadi alasan pengusaha bas menggaji warga asing sebagai pemandu bas pekerja walaupun mereka tidak memiliki lesen.

Itu antara yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor susulan tindakan ke atas dua bas yang dipandu warga asing menerusi Op Bas Pekerja yang dijalankan di sekitar daerah ini di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi secara rondaan yang menumpukan bas yang menghantar dan mengambil pekerja bermula jam 6 pagi itu bertindak mengeluarkan 72 notis saman atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, mengikut pecahan, kesalahan teknikal paling banyak direkodkan dengan 21 kes, diikuti tiada Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) (15 kes), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (13 kes) tiada perlindungan insurans (13 kes) serta tiada lesen memandu kompeten (CDL) (10 kes).

Iklan
Azrin

"Dua bas pekerja telah disita atas kesalahan dipandu warga India yang tiada lesen memandu selain LKM tamat tempoh," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, selain kesalahan pemandu warga asing, pemandu bas tempatan juga memberi alasan kekangan masa dan sibuk bekerja untuk mengambil lesen.

Iklan

"Operasi ini akan terus dilaksanakan dan sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!