PM gesa akademia, mahasiswa terus istiqamah junjung nilai kemanusiaan

Iklan
Anwar ketika menyampaikan satu syarahan umum di Perpustakaan Negara Qatar pada Isnin. Foto FB Anwar Ibrahim

DOHA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar para akademia dan mahasiswa terus istiqamah dalam menjunjung nilai kemanusiaan dan ketulusan supaya dapat merencana masa depan dunia Islam yang lebih cerah.

Dalam satu hantaran di X, beliau menyentuh mengenai cabaran dan dugaan dalam era pascanormal yang menuntut pemimpin dunia Islam menggembleng kudrat berhadapan isu Islamofobia, diskriminasi dan hipokrasi kuasa besar dunia, ketika menyampaikan satu syarahan umum di Perpustakaan Negara Qatar pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Umat Islam harus kekal waras dan kembali kepada akar kekuatan yang bertunjangkan budaya ilmu, akhlak, karamah insaniah serta ketakwaan yang mendasari ajaran Islam dan budaya ketimuran yang pernah saya ungkapkan dalam karya The Asian Renaissance,” kata beliau dalam hantaran itu.

Terdahulu, pada syarahan umum pada Isnin yang merupakan jemputan daripada Universiti Hamad bin Khalifa, Anwar menyentuh mengenai masa depan Islam, serta mengungkapkan kesedihan dan kekecewaan beliau atas kegagalan masyarakat dunia khususnya negara Barat, yang seolah-olah tidak mengendahkan apa yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Iklan

Beliau juga mengakui cukup menyedihkan untuk melihat banyak negara bukan Islam mempamerkan sebegitu banyak kebencian serta ketidakadilan terhadap minoriti Muslim di negara mereka.

"Kenapa anda bercakap berkaitan kemanusiaan, demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi sebaliknya anda membenarkan perlakuan itu melanggar nilai itu dan melakukan genosid terhadap segmen populasi tertentu, sama ada di Rwanda atau di Gaza.

Iklan

"Dapatkah anda bayangkan bagaimana selepas berdekad-dekad lamanya kita masih lagi melihat itu semua berlaku dan ia mengundang banyak kemarahan. Orang ramai marah termasuk di Malaysia, disebabkan kegagalan keseluruhan sistem ... komuniti antarabangsa, tiada; kuasa besar, tiada dan media arus perdana, tiada atau minimum. Pokok pangkalnya, kekejaman masih berterusan,” kata beliau.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa apa yang berlaku di Gaza sepenuhnya, diabaikan.

"Saya tak kata ini untuk bermaksud putus ada, sebaliknya saya optimis dan percaya akhirnya kewarasan akan kembali dan sebab itulah kita ada universiti (untuk memupuk generasi seterusnya dengan nilai diperlukan),” kata beliau.

Sebelum mengakhiri syarahan, Anwar mendeklamasikan sebuah sajak Inggeris bertajuk If I Must Die karya Allahyarham Dr Refaat Alareer, seorang profesor kesusasteraan Inggeris di Universiti Islam Gaza serta antara pengasas bersama projek We Are Not Numbers, yang terkorban akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza pada Disember tahun lepas.

Refaat, 44, semasa melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Putra Malaysia (UPM) juga pernah menyelenggara antologi cerpen warga Palestin, Gaza Writes Back sekitar 2013 dan 2014.

Dilancarkan pada Disember 2008, Gaza Writes Back ialah bersempena memperingati ulang tahun kelima kekejaman rejim Israel melalui operasi Cast Lead sebelum antologi itu dilancarkan sekali lagi di Perpustakaan Kuala Lumpur.

Sebulan sebelum kematian, beliau menerbitkan sebuah sajak bertajuk If I Must Die yang menjadi tular dan dikongsi ramai melalui pelbagai platform media sosial. Antara bait-bait sajaknya ialah"If I must die, let it bring hope, let it be a tale".

Pertempuran antara Palestin dan rejim Zionis, yang kini memasuki tempoh lebih tujuh bulan sejak 7 Oktober tahun lepas, kian memuncak dengan pencerobohan terbaharu Israel terhadap Rafah, meragut lebih 35,000 nyawa rakyat Palestin sehingga kini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!