KUALA LUMPUR - Kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ahli keluarganya di Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat perhatian ramai.
Menerusi satu hantaran di platform TikTok pada Ahad, beliau berkongsi pengalaman membawa ibunya, menghadiri konsert biduanita negara itu malam tadi.
Dalam video yang dimuat naik dengan kapsyen “POV: You bring your mum pergi concert Tok Ti”, Syed Saddiq memaklumkan ibunya 'tidak berkelip mata' sepanjang persembahan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang merupakan idola ibunya sejak dahulu.
"Idola sepanjang hayat dia, di atas pentas Datuk Seri Siti Nurhaliza," tulis Syed Saddiq.
Lebih menarik perhatian, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah kerana membantu memastikan kehadiran mereka ke konsert berkenaan, yang menyaksikan puluhan ribu peminat berhimpun meraikan tiga dekad perjalanan seni Siti Nurhaliza.
"Terima kasih Bella Astillah kerana merealisasikan hal ini," katanya.
Dalam masa sama, peminat juga teruja ternampak Syed Saddiq dan Bella menaiki LRT menuju ke stadium sebelum itu.
Dalam pada itu, hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji sikap hormat dan kelembutan Syed Saddiq terhadap ibunya.
Ada yang menyifatkan gaya beliau hadir ke konsert itu sebagai “cara sopan BASS dating”, selain menyatakan rezeki ibunya yang dibantu “bakal menantu” dalam menyelesaikan urusan tiket.
Turut mencuri perhatian, komen netizen yang menyamakan raut wajah Bella Astillah dengan Siti Nurhaliza, sambil menganggap pertemuan dan aturan kehidupan itu sebagai sesuatu yang indah.
"Mama peminat tegar Tok Ti, ALLAH hadirkan bakal menantu wajah iras Tok Ti, aturan ALLAH itu cantik. Masya-ALLAH," tulis seorang pengguna Threads.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love menjadi penanda usia karier seninya yang kini menjengah tiga dekad yang menyaksikan Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu-lagu popularnya dari setiap era. - Awani