Perak catat komuniti tertinggi Sejati Madani

Iklan
Saarani (dua dari kiri) menyampaikan dana yang diluluskan melalui Program Sejati Madani kepada salah satu komuniti ketika Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 3 di Dewan Merdeka Tapah pada Isnin.

TAPAH - Perak mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi dalam aspek penjanaan Identiti Digital (ID) Komuniti pengguna Sistem MySejati Madani dengan 276 komuniti menyertai Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Program Sejati Madani merupakan inisiatif baharu kerajaan Persekutuan yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut merupakan pengisian kepada kerangka Ekonomi Madani yang berfokuskan kesejahteraan rakyat terutama dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat dan menangani isu miskin tegar.

"Setakat 13 Mei 2024, Perak masih mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi dalam aspek penjanaan ID Komuniti pengguna Sistem MySejati Madani dengan 276 komuniti manakala jumlah permohonan program yang diterima adalah sebanyak 86 permohonan," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 3 di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Isnin.

Iklan

Saarani berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan dan menggalakkan komuniti yang berkelayakan untuk mengambil peluang serta memohon dana yang disediakan di bawah program berkenaan.

Katanya, program seumpama itu dapat melahirkan komuniti berdaya saing, berorientasikan komersial, serta dapat membangunkan sektor ekonomi di peringkat akar umbi selaras dengan konsep Madani yang diperkenal kerajaan.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, Saarani memaklumkan sebanyak 154 aduan diterima kali ini melibatkan pelaksanaan di luar Ipoh selepas di daerah Kerian pada Februari.

"Sehingga siri kedua yang lepas, sebanyak 401 aduan terkumpul dengan 354 atau 88 peratus aduan telah selesai manakala 47 atau 12 peratus lagi aduan masih dalam tindakan. Aduan-aduan kompleks yang melibatkan tanah dan urusan peruntukan yang memerlukan perhatian pelbagai pihak.

"Penganjuran Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 3 ini, melibatkan 69 kaunter khidmat pelanggan, lapan kaunter bergerak serta lebih 10 reruai pameran," katanya.

Pada program tersebut, Saarani turut menyampaikan dana yang diluluskan melalui Program Sejati Madani kepada sembilan komuniti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Perak.

Antara komuniti yang menerima dana tersebut ialah JPKK Bagan Pasir Laut, Bagan Datuk yang mengusahakan penanaman pokok pisang abu, JPKK Kampung Tanjung Ara, Manjung mengusahakan tanaman tebu dan JPKK Kampung Bandar di daerah Perak Tengah (ternakan ikan air tawar).

Tiga komuniti di daerah kecil Pengkalan Hulu yang menerima dana Sejati Madani pula melibatkan JPKK Kampung Kuak Luar (pembuatan kuih tradisional dan cili fertigasi), JPKK Kuak Hulu (tanaman betik sekaki) dan JPKK Kampung Pong (tanaman cili fertigasi).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!