Pendudukan Israel: Tragedi 76 tahun di Palestin

Iklan
Sejak 7 Oktober 2023 sahaja, permulaan konflik Israel-Hamas, sekurang-kurangnya 35,034 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, dengan 14,944 daripada mereka adalah kanak-kanak dan 9,849 wanita. Foto AFP

RAMALLAH - Biro Perangkaan Pusat Palestin mengeluarkan laporan pada Ahad menandakan ulang tahun ke-76 Nakba yang menunjukkan bahawa sejak tahun 1948, kira-kira 134,000 rakyat Palestin dan Arab telah terbunuh di dalam dan luar Palestin.

Laporan biro itu memperincikan statistik kematian, penahanan, pembinaan penempatan, dan rampasan tanah di Palestin bertepatan dengan ulang tahun Nakba yang berlaku pada 15 Mei 1948, menurut Agensi Anadolu.

Iklan
Iklan

Sejak 7 Oktober 2023 sahaja, permulaan konflik Israel-Hamas, sekurang-kurangnya 35,034 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, dengan 14,944 daripada mereka adalah kanak-kanak dan 9,849 wanita.

Mayat kira-kira 7,000 orang masih belum ditemui. Di Tebing Barat, 492 rakyat Palestin kehilangan nyawa akibat serangan tentera Israel dan peneroka Yahudi sejak 7 Oktober.

Iklan

Menurut data daripada Persatuan Tahanan Palestin dan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Palestin mengenai Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, kira-kira 1 juta orang telah ditahan sejak tahun 1967.

Jumlah penahanan di Tebing Barat sahaja telah mencapai 8,520 sejak 7 Oktober, dengan sejumlah tahanan dibebaskan dan yang lain masih dalam tahanan.

Iklan

Setakat akhir April, jumlah tahanan di penjara Israel telah mencapai 9,400, termasuk 3,600 yang ditahan tanpa perbicaraan.

Memetik laporan itu, Agensi Anadolu melaporkan sehingga penghujung 2022, jumlah pusat pemeriksaan tentera dan penempatan Israel di Tebing Barat telah mencecah 483, dengan populasi peneroka mencapai 745,467, terutamanya di Baitulmuqaddis.

Peningkatan ketara dalam pembinaan penempatan disaksikan pada tahun 2023, dengan pihak berkuasa Israel meluluskan rancangan untuk lebih daripada 18,000 unit, termasuk di Baitulmuqaddis.

Pada tahun 2022, pihak berkuasa Israel telah merampas 26,000 ekar tanah Palestin di Tebing Barat, dan jumlah ini meningkat kepada 50,526 ekar pada tahun 2023.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah memusnahkan atau mengakibatkan kerosakan teruk sejumlah 89,000 bangunan di Gaza, termasuk 104 milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kos serangan di Gaza, termasuk kerosakan kepada infrastruktur, jalan, rangkaian elektrik, air dan tanah pertanian, dianggarkan berjumlah US$30 bilion.

Di Tebing Barat, Israel telah merobohkan sebahagian atau sepenuhnya 659 bangunan dan kemudahan pada tahun 2023.

Selain itu, perintah perobohan dikeluarkan untuk 1,333 kemudahan Palestin atas alasan tidak mempunyai permit, katanya.

Pada tahun 2023 juga, peneroka Yahudi dan tentera Israel telah melakukan 12,161 serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka, termasuk 3,808 terhadap harta benda dan tapak keagamaan, 707 terhadap tanah dan sumber semula jadi, dan 7,646 terhadap individu.

Serangan itu mengakibatkan kerosakan kepada kira-kira 21,700 pokok, termasuk 18,964 pokok zaitun. - Bernama-Anadolu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!