Anugerah Inspirasi Ibu: Rahamah gigih bawa anak hidap cerebral palsy ulang-alik hospital

Iklan
Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahmah (tiga dari kiri) pada majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Ayer Keroh pada Ahad. Foto Bernama

MELAKA - Pengorbanan Rahamah Mohtar, 61, yang gigih berulang-alik ke hospital selama bertahun-tahun ternyata membuahkan hasil apabila anak bongsu daripada lapan beradik, Ahmad Mujahid Azmi, 21, yang menghidap cerebral palsy kini mampu berdikari dan menguruskan diri.

Ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata, kelahiran Ahmad Mujahid yang merupakan kembar itu nyata menyuntik semangat luar biasa untuk mengharungi kehidupan di sebalik ujian berat yang terpaksa ditempuhinya.

Iklan
Iklan

"Apabila Ahmad Mujahid disahkan mengalami cerebral palsy, doktor cakap anak ini perlu dijaga seumur hidup kerana dia tak boleh berjalan dan bercakap. Namun saya tak berputus asa.

"Selama 20 hari dalam sebulan saya akan bawa Ahmad Mujahid menjalani fisioterapi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor sehingga dia mampu berjalan dan bertutur ketika dia berusia tiga tahun dan rawatan susulan di hospital sama," katanya selepas menerima Anugerah Inspirasi Ibu pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 di sini pada Ahad.

Iklan

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Asmah Ab Rahman.

Pada majlis berkenaan, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahamah.

Rahamah berkata, beliau berperang dengan emosi hampir setiap hari apabila Ahmad Mujahid beralih ke fasa dewasa apabila minda anaknya itu masih 'terperangkap' dengan kehidupan kanak-kanak.

Iklan

Beliau berkata, gangguan emosi dialami anaknya kesan daripada fasa peralihan itu menyebabkan Ahmad Mujahid mudah tantrum dan mengamuk sehingga menyebabkan orang kampung berasa takut dengan kehadirannya.

"Saya juga berasa tertekan dengan situasi berkenaan namun selepas menghadiri beberapa sesi kaunseling dengan pelbagai agensi, Alhamdulillah saya diberi panduan bagaimana menguruskan Ahmad Mujahid.

"Antaranya dengan membawa Ahmad Mujahid berjumpa pakar psikiatri dan mengambil ubat tertentu bagi mengelakkan dia mengalami gangguan emosi berlebihan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!