Naik taraf SMKKJ untuk tingkat kualiti pendidikan tingkatan enam

Iklan
Laporan Sinar Harian.

NIBONG TEBAL - Keputusan menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ) di Sungai Petani sebagai kolej tingkatan enam bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan khususnya buat masyarakat di kawasan berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu juga antara usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menaik taraf sekolah terbabit sebagai pusat tingkatan enam dan ia telah pun sampai ke peringkat akhir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tidak timbul soal akses pendidikan yang akan menjejaskan pelajar-pelajar di sekolah berkenaan dan semua isu berbangkit telah diselesaikan dengan penglibatan semua pihak.

"Sebenarnya tiada isu berbangkit mengenai perkara ini tetapi apa yang kita nak beri tumpuan adalah bagaimana kita nak menaik taraf sekolah itu sebagai pusat tingkatan enam yang akan meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan berkenaan.

Iklan

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai keputusan menjadikan SMKKJ sebagai kolej tingkatan enam sepenuhnya tidak dipersetujui ramai berdasarkan beberapa alasan yang dikemukakan.

Antaranya mempunyai sejarah tersendiri termasuk dakwaan mengatakan ia merupakan sekolah aliran Melayu terawal di Kedah, mempunyai kemudahan bersukan dan melahirkan atlet sehingga ke peringkat antarabangsa selain kewujudan kelas aliran agama di sekolah berkenaan.

Iklan

Dalam masa sama, kewujudan SMKKJ telah memberi kemudahan kepada ibu bapa yang tinggal berhampiran, fasiliti asrama pelajar lelaki dan wanita dan sekolah yang luas menyediakan tempat kepada kira-kira 1,500 orang.

Pada Rabu, Jawatankuasa Bertindak Penduduk Sungai Petani mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memasukkan semula pendaftaran Tingkatan Satu dan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari pada sesi persekolahan 2025.

Pengerusinya, Makbul Ilahi Hashim berkata, desakan itu dibuat mengambil kira masalah dihadapi ibu bapa apabila terpaksa menghantar anak ke sekolah menengah lain yang lebih jauh sehingga meningkatkan kos, berisiko keciciran, ponteng sekolah sekali gus hilang minat untuk belajar.

Menurutnya, jawatankuasa tidak membantah menjadikan sekolah aliran Melayu terawal di Sungai Petani itu sebagai kolej Tingkatan Enam tetapi menuntut agar terus mengekalkan sesi pembelajaran tingkatan satu hingga enam seperti biasa sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!