Draf RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) tersedia untuk maklum balas

Iklan
Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) disempurnakan Menteri Besar (tengah).

SHAH ALAM - Draf Rancangan Struktur (RS) Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) merupakan kajian semula kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor yang diwartakan pada 2 Februari 2017.

Kerajaan negeri dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan pengubahan itu berdasarkan penemuan Laporan Pemantauan dan Penilaian Outcome (LPPO) RS Negeri Selangor 2035 disediakan pada 2022 mendapati daripada 69 dasar RS tersebut, terdapat tiga dasar perlu ditambah baik dan dua dasar perlu semakan untuk digugurkan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Selangor melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) telah melaksanakan pengubahan ke atas Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang bertujuan untuk menyelaras semula dasar dan polisi semasa di peringkat antarabangsa, Persekutuan dan negeri di mana ia belum pernah dipinda atau ditambah baik sejak pewartaan pada tahun 2017.

"Pengubahan ini juga dibuat berdasarkan peruntukan subseksyen 11, Akta 172 di mana sesuatu RS hendaklah dikaji semula setiap lima tahun seiring dengan penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negeri," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Sebelum itu, Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada Khamis.

Amirudin (tiga dari kanan) menyerahkan draf Rancangan Struktur (RS) Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) 2023 kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon.

Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) bermula pada 9 Mei dan berakhir pada 8 Jun 2024 bertujuan untuk memaklumkan kepada pihak berkepentingan bahawa Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) siap disediakan dan menjemput semua pihak memberi maklum balas berhubung cadangan dasar dan strategi pembangunan terkandung di dalam Draf RS tersebut.

Iklan

Program ini juga adalah selaras dengan seksyen 11B(3) [Akta 172], di mana sebelum Draf RS tersebut diterima pakai, ia hendaklah diperiksa dan bantahan boleh dibuat dalam tempoh satu bulan dari tarikh penyiaran.

Dalam pada itu, kumpulan sasaran bagi program ini adalah agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pemain industri, ahli politik, wakil penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Penasihat Undang Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib dan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Faizal Ahmad Tajuddin.

Kata kenyataan itu lagi, pengubahan itu juga dapat menyelaras dengan trend pembangunan semasa Negeri Selangor seperti yang digariskan di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antaranya adalah Carey Selangor, Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selatan Selangor (IDRISS), Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), Zon Pembangunan Ekonomi Maritime Gateway (ZPE SMG), KLIA Aeropolis dan Subang Airport Regeneration Plan (SARP).

Menurut kenyataan itu, visi pembangunan RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) adalah bagi menjadikan Selangor negeri idaman, maju dan sejahtera yang mana telah menggariskan tujuh hala tuju pembangunan negeri melalui misi yang ditetapkan iaitu dengan melestarikan kehidupan rakyat untuk kesejahteraan hubungan dengan Tuhan, manusia dan alam sekitar supaya menuju keseimbangan dalam pembangunan yang kondusif dan mampan.

"Sementara bagi mencapai matlamat pembangunan negeri Selangor iaitu"Selangor negeri produktif, progresif dan pintar", dokumen ini menggariskan tiga teras utama iaitu teras satu iaitu negeri dinamik, maju dan berdaya saing, teras kedua pula ialah negeri mampan dan berdaya tahan.

"Teras ketiga pula adalah negeri cekap sumber dan berdaya huni yang mana telah membentuk 17 hala tuju telah diperincikan dengan 73 dasar dan diterjemahkan dengan 522 Inisiatif Pelaksanaan bagi memacu pembangunan negeri Selangor," kata kenyataan.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor berharap agar Draf RS ini dijadikan rujukan kepada agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pihak berkepentingan dan juga pemain industri untuk bersama-sama memaju dan membangunkan Selangor menjelang tahun 2035 selaras dengan pembangunan Malaysia Madani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!