Pahang sedia 400 hektar tanah bangunkan projek jagung bijian

Iklan
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (depan, tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Mohamad Khairil (depan, kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Sharifah Norjannah Syed Agil (depan, kanan) pada MoU di Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 400 hektar tanah di Pahang dikenal pasti untuk pembangunan projek tanaman jagung bijian menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang dijangka bermula Februari atau Mac tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, projek itu antara empat bidang kerjasama yang dipersetujui kedua-dua perbadanan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangunan jagung bijian itu berpotensi membantu mengurangkan kos makanan selain menyumbang kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

"Sebenarnya projek jagung bijian ini, Pahang sudah bersedia dan kita hanya perlu membuat perancangan dan melaksanakannya," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU antara PKPS dan PKPP di sini pada Selasa.

Iklan

Selain jagung bijian, katanya, kerjasama itu turut merangkumi pembangunan jelapang padi, Program Pertanian Komuniti Fertigasi Shahzan Makmur bagi membantu golongan B40 serta pembangunan agropelancongan.

Mengulas pembangunan jelapang padi, Mohamad Khairil berkata, PKPS sebelum ini melaksanakan projek seluas 150 hektar di Pahang menggunakan model penanaman yang turut diguna pakai di Jelapang Padi Sungai Besar, Sekinchan.

Iklan

Menurutnya, pendekatan itu berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada 3.2 kepada 7.2 metrik tan semusim.

Beliau memberitahu, kedua-dua negeri turut merancang memperkenalkan konsep pertanian 'Twin Farming' (berkembar) menerusi pembangunan kawasan agropelancongan seluas 50 hektar di Cameron Highlands.

Katanya, PKPS dan PKPP akan bekerjasama menguruskan kawasan itu, manakala keluasan tanah setara akan disediakan di Selangor Fruit Valley bagi melaksanakan pembangunan seumpamanya.

"Konsep ini agak unik kerana kita bukan sahaja membangunkan pertanian, malah menggabungkannya dengan agropelancongan.

"Kita percaya persekitaran tanah tinggi dengan cuaca lebih sejuk mampu meningkatkan tarikan pelancongan selain merancakkan ekonomi setempat," ujar beliau.

Mohamad Khairil memberitahu, kerjasama itu turut memberi ruang kepada PKPS memperluas penggunaan teknologi dan kepakaran pertanian Selangor ke Pahang sekali gus membantu meningkatkan tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran makanan.

Tambahnya, pelaksanaan projek itu juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar berhampiran lokasi pembangunan.

"Pengambilan pekerja bagi projek ini juga akan mematuhi kadar gaji minimum serta dasar yang ditetapkan kerajaan," jelas beliau.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan projek tanaman jagung bijian di Pahang bersama kawasan penanaman di Selangor berpotensi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import komoditi itu sehingga 10 peratus.

Menurutnya, pengeluaran tempatan penting bagi mengurangkan kos makanan ternakan berikutan jagung bijian merupakan antara bahan utama sumber protein dalam industri penternakan.

"Jika kita dapat menghasilkan jagung bijian sendiri, secara tidak langsung kos pengeluaran produk tenusu dan daging termasuk ayam, lembu serta kambing dapat dikurangkan.

"Ini juga akan membantu memastikan bekalan susu dan daging negara lebih terjamin," jelas beliau.

Beliau berkata, Pahang berpotensi memperluas kawasan tanaman itu sehingga 1,500 hektar sekiranya projek perintis itu berjaya dilaksanakan.

Amirudin berkata, kedua-dua pihak kini memperincikan model pengurusan projek sebelum pelaksanaan secara berperingkat dimulakan, termasuk melalui projek rintis.

"Saya fikir projek jagung bijian dan pertanian komuniti boleh dimulakan lebih awal, manakala pembangunan agropelancongan serta padi memerlukan sedikit masa kerana membabitkan keluasan tanah dan pengurusan lebih terperinci," tambah beliau.