‘Ibu, jangan tinggalkan ayah’

Iklan
Nurul Syahadah bersama suami dan anak-anaknya.

SHAH ALAM - Seorang ibu sebak apabila anak lelakinya yang berusia 12 tahun sering berpesan supaya tidak meninggalkan suami atau mencari pengganti selepas bapanya disahkan menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND).

Pesanan tersebut sering diungkapkan Muhammad ‘Abid Rif’at ‘Azham Fida’iy kepada ibunya, Nurul Syahadah Borhan, 39, terutama apabila melihat keadaan bapa yang semakin uzur.

Iklan
Iklan

Nurul Syahadah berkata, anak keduanya itu turut mengingatkan supaya sentiasa mendengar kata-kata suami, ‘Azham Fida’iy Azkar, 40, malah sering mempertahankan bapanya apabila dimarahi.

“Sejujurnya, setiap kali Muhammad ‘Abid Rif’at cakap begitu, memang saya rasa sebak sangat. Saya sendiri tidak tahu dari mana dia belajar atau bagaimana dia memahami keadaan keluarga kami.

Iklan

“Mungkin dia terlalu sayangkan ayah dan takut kehilangan keluarga yang dia kenal selama ini. Saya hanya mampu memujuk dan meyakinkan dia bahawa saya akan sentiasa cuba menjaga ayah serta keluarga kami sebaik mungkin,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Muhammad ‘Abid Rif’at bersama bapanya, ‘Azham Fida’iy yang menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND) sejak 2024.

Iklan

Menurutnya, sikap yang ditunjukkan Muhammad ‘Abid Rif’at tidak mengejutkan kerana mempunyai hubungan rapat dengan bapa sebelum jatuh sakit.

Nurul Syahadah yang bekerja sebagai kerani bank menceritakan, suaminya sebelum ini seorang yang aktif dan sering meluangkan masa bersama anak-anak dengan bermain, bersukan, menunggang motosikal serta membawa mereka berjalan.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila suami mula menunjukkan tanda awal penyakit MND sekitar November 2023 apabila otot tangannya semakin lemah sebelum disahkan menghidap penyakit itu pada Julai 2024.

“Sekarang keadaan suami semakin uzur. Pergerakan tangan dan anggota badannya semakin terbatas sehingga memerlukan bantuan untuk hampir semua urusan harian, termasuk penjagaan diri.

“Apabila dia mula sakit dan tidak lagi mampu melakukan perkara seperti dahulu, perubahan itu sebenarnya sangat besar untuk anak-anak,” katanya.

Dalam keadaan itu, Nurul Syahadah berkata, Muhammad ‘Abid Rif’at turut menunjukkan keprihatinan dengan membantu menguruskan keperluan harian bapa, termasuk mengurut tangan dan kaki serta menemaninya di rumah.

Tambahnya lagi, anaknya itu juga mengambil inisiatif sendiri untuk membantu tanpa perlu diminta, terutama ketika cuti sekolah apabila mereka banyak menghabiskan masa bersama bapa.

“Saya tidak pernah mengharapkan mereka memikul tanggungjawab orang dewasa. Cukuplah mereka membesar dengan rasa kasih sayang dan prihatin terhadap ayah.

“Saya mahu anak-anak membesar dengan melihat bahawa kasih sayang bukan hanya ada ketika seseorang itu sihat dan kuat, tetapi juga ketika dia sedang sakit dan memerlukan kita,” katanya.