McDonald’s Malaysia bayar zakat RM2 juta tahun ini

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman menerima zakat korporat dari Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar disaksikan oleh dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzi pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald's Wilayah Persekutuan dan Sumbangan Kepada Asnaf di Putrajaya.

PUTRAJAYA – McDonald’s Malaysia menunaikan zakat sebanyak RM2 juta bagi tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran zakat syarikat itu sejak 2017 mencecah RM16 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi agihan zakat di Wilayah Persekutuan.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pembayaran zakat itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam dalam melaksanakan kewajipan agama dan membantu golongan asnaf.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzi (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman bergambar pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald's Wilayah Persekutuan dan Sumbangan Kepada Asnaf di Putrajaya.

Iklan

“Dalam rezeki yang dikurniakan kepada kami, ada hak golongan asnaf yang perlu ditunaikan. Sebab itu, kewajipan ini sentiasa menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami dalam mengusahakan perniagaan,” katanya dalam majlis penyerahan zakat di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2 pada Selasa.

Majlis tersebut turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif (MAIWP), Datuk Is Mohd Nizam Yahya.

Iklan

Pada masa sama, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, Syarikat berkenaan membayar zakat antara RM2 juta hingga RM3 juta setiap tahun sejak mula melaksanakan kewajipan tersebut pada 2017.

Menurutnya, penyerahan zakat dilakukan menerusi jelajah ke negeri-negeri bagi membolehkan syarikat mendekati penerima secara langsung, selain menyampaikan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, McDonald’s Malaysia memulakan penyerahan zakat tahun ini di Kelantan pada Julai sebelum meneruskannya ke negeri lain, manakala Wilayah Persekutuan menjadi lokasi ke-10.

Jumlah zakat yang disalurkan kepada setiap negeri ditentukan berdasarkan bilangan restoran McDonald’s yang beroperasi di kawasan berkenaan.

“Bagi Wilayah Persekutuan, kita mempunyai 55 restoran dan jumlah zakat yang dibayar ialah RM300,000,” katanya.

Selain bayaran zakat, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan harian kepada 80 keluarga asnaf di Putrajaya dan 15 komputer riba kepada pelajar asnaf dari Kolej Profesional MAIWP.

Azhar menjelaskan, sumbangan komputer riba itu bertujuan memudahkan urusan pembelajaran pelajar berkenaan supaya mereka dapat mengikuti pengajian dengan lebih baik dan mencapai keputusan cemerlang.

“Dengan kemudahan tersebut, mereka dapat belajar dengan baik dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam pendidikan,” katanya.