Pelukis pelan, bekas anggota polis ditahan kes samun

Iklan
Dua suspek Geng Bacin antara ditahan disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan baru-baru ini.

MELAKA - Polis menumpaskan geng samun kedai didalangi tiga lelaki termasuk seorang pelukis pelan jabatan kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan 'Geng Bacin'.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainal Samah berkata, individu berusia 36 tahun itu disyaki bersubahat dengan dua rakannya yang merupakan bekas anggota polis serta seorang anak kepada pesara polis masing-masing berusia 33 dan 38 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan polis dalam tempoh 24 jam di sekitar daerah Jasin selepas disyaki melakukan samun di tiga kedai berasingan di daerah Melaka Tengah pada Isnin dan Selasa lalu.

Antara barang rampasan yang terlibat dalam kegiatan samun itu.

Katanya, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan kes samun berkawan menggunakan senjata menyerupai sepucuk pistol di kedai gajet, kedai beg dan kedai runcit sekitar Krubong, Telok Mas dan Tambak Paya dalam daerah Melaka Tengah.

Iklan

"Polis Melaka menerima tiga laporan berkaitan kes samun berkawan itu pada 6 dan 7 Mei lalu.

"Modus operandi kumpulan ini dengan mengacukan objek berwarna hitam yang menyerupai sepucuk pistol bagi menakutkan mangsa sebelum menyamun wang hasil jualan premis kedai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut beliau berkata, salah seorang suspek yang ditahan merupakan pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala suspek berusia 33 tahun merupakan bekas polis yang dibuang kerja pada tahun 2021 dan seorang lagi suspek merupakan anak kepada pasangan polis yang telah bersara.

Ujar beliau, jumlah keseluruhan kerugian dalam kejadian samun di tiga premis itu dianggarkan RM1,150 dan semakan terhadap semua suspek mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek kini direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!