OKU maut disamun, kaki dan tangan diikat, mulut disumbat kain

Iklan
Anggota polis dilihat melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

PERMATANG PAUH - Seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangannya diikat selain mulut disumbat dengan kain dalam kejadian samun di sebuah rumah di Guar Perahu, di sini pada pagi Rabu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, ibu mangsa yang berusia 70-an turut ditemui diikat kaki dan tangan dengan 'cable tight' serta mulut disumbat dengan kain dalam bilik berasingan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejadian berkenaan disedari oleh bapa mangsa berusia 80-an yang mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak sebelum membuat pemeriksaan di bilik isteri dan anak yang berusia 40-an.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati tempat kejadian merupakan rumah kampung dua tingkat dan hanya mereka bertiga tinggal di dalam rumah berkenaan.

Iklan

"Pada jam 6.30 pagi, bapa mangsa yang tidur bilik berasingan mendapati keadaan rumah berselerak dipercayai disamun membuat pemeriksaan ke bilik isterinya dan menjumpai wanita itu dalam keadaan diikat, mulutnya disumbat dengan kain dan mengalami cedera di bahagian jari kanan.

"Pemeriksaan dibuat dibilik anaknya yang merupakan OKU bisu pula mendapati dia juga diikat dan mulutnya disumbat dengan kain namun dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.

Iklan

Helmi berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan dari Hospital Bukit Mertajam di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayatnya di hantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Sementara itu, Helmi berkata, siasatan yang dilakukan mendapati dua orang suspek dipercayai terlibat dengan kejadian samun berkenaan dan mereka dipercayai bersenjatakan parang ketika melakukan jenayah berkenaan.

Jelasnya, selepas berjaya masuk dan mengikat mangsa, suspek kemudiannya mengeledah rumah sebelum melarikan barang berharga, wang tunai serta sebuah televisyen.

"Ekoran kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 40-an bagi membantu siasatan dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk lima berkaitan dadah.

"Siasatan lanjut masih kita jalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,"katanya.

Dalam pada itu, Helmi meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan melihat kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Assan Alimudin di talian 012-4418081 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!