Masyarakat perlu bangkit, beri tekanan kepada Israel - Nurul Izzah

Iklan
Nurul Izzah Anwar - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Semua lapisan masyarakat harus bangkit dan memberi tekanan kepada Israel serta sekutunya untuk berhenti melakukan perkara yang menambah kesengsaraan kepada warga Gaza, khususnya mereka yang sedang berlindung di Rafah.

Penasihat Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar), Nurul Izzah Anwar berkata, Rafah antara kawasan terakhir yang belum dimusnahkan dan kini menjadi tempat perlindungan kepada lebih satu setengah juta warga Gaza.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Israel selama ini menggunakan taktik kotor dengan menjadikan Rafah dan semua warga Palestin di sana sebagai tebusan untuk memaksa Hamas bersetuju dengan syarat mereka dalam proses gencatan senjata.

"Namun demikian pada pagi ini, dunia sekali lagi dikejutkan dengan gambaran sebenar perangai Israel yang telah menghantar kereta kebal mereka di Kompleks Imigresen Rafah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Nurul Izzah berkata, tentera Israel telah menguasai Kompleks Imigresen Rafah yang menjadi pintu masuk dan keluar dari Gaza serta Mesir selain turut bertindak biadap dengan menurunkan bendera Palestin dan menaikkan bendera Israel di kompleks itu.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan pergerakan sukarelawan dan barangan bantuan dihentikan melalui pintu Rafah.

Iklan

Selain itu, Nurul Izzah berkata, terdapat laporan media Ibrani yang menunjukkan kereta kebal tentera Israel sedang beroperasi di Koridor Philidelphi yang jelas menandakan rejim berkenaan telah mencabuli Perjanjian Philidelpi 2005 yang bersetuju kawasan itu menjadi kawasan bebas tentera.

"Apa yang merisaukan kita ialah Israel ingin meneruskan pembunuhan dan kemusnahan walaupun cadangan gencatan senjata telah diterima semata-mata untuk memenuhi kehendak jahat Netanyahu (Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu).

"Pencabulan berkali-kali dalam hak asasi manusia oleh rejim Israel di Gaza ini jelas menunjukkan keangkuhan mereka seolah-olah mereka kebal daripada segala perundangan antarabangsa," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!