Ibu terkedu anak jadi mangsa letupan bom di Narathiwat

Iklan
Akibat letupan itu, motosikal Siti Aisyah mengalami kerosakan yang teruk dan akan dibawa pulang menggunakan trak pikap. Gambar kecil: Siti Aisyah hanya mengalami luka kecil di dagu serta kepala.

TUMPAT - Seorang ibu terkedu selepas mendapat tahu anak perempuannya menjadi mangsa letupan bom di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Narathiwat, Thailand pada Isnin.

Narizah Nor, 56, berkata, kejadian itu hanya diketahuinya pada jam 2 petang, Selasa selepas dimaklumkan oleh salah seorang anaknya.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, saya hanya dengar cerita sahaja mengenai letupan bom di Thailand. Namun, bila terkena kepada anak sendiri (Siti Aisyah Ismail, 31), saya menjadi tidak senang duduk memikirkan nasibnya.

"Anak-anak beritahu mengenai kejadian menimpa Siti Aisyah lambat kerana bimbangkan kesihatan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Geting, Pengkalan Kubor pada Rabu.

Iklan

Namun menurut Narizah, dia lega selepas mendapat tahu anak keempat daripada tujuh beradik itu selamat dan hanya mengalami luka kecil di dagu serta kepala.

Ujarnya, semasa kejadian kakak ipar kepada Siti Aisyah yang mengandung turut mengalami sesak nafas dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Iklan

Narizah memberitahu, anaknya yang merupakan pengusaha keropok ikan itu ke Narathiwat bertujuan menziarahi nenek kepada ibu mentuanya yang meninggal dunia.

Narizah (tengah) melayan sanak-saudara yang datang bertanya khabar tentang Siti Aisyah di rumahnya di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Dia (Siti Aisyah) bersama suami serta anak bongsu berusia empat tahun ke Narathiwat dengan menunggang motosikal. Masa kejadian dia ke lokasi tersebut untuk mencari makanan, lagipun ketika itu ada pesta.

"Akibat letupan itu, motosikal Siti Aisyah mengalami kerosakan yang teruk dan akan dibawa pulang menggunakan trak pikap," katanya.

Tambah Narizah, Siti Aisyah kini berada dalam keadaan baik serta dijangka pulang bersama anak dan suami ke Kelantan pada Khamis.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, dua rakyat Malaysia antara lapan individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian letupan bom di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat pada Isnin.

Perkara tersebut disahkan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

"Kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka berasal dari Kelantan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam kejadian jam 9.35 malam itu, lebih lima motosikal dilaporkan terbakar dipercayai bom dipasang pada kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 30-an hanya mengalami kecederaan ringan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!