300 peserta dari 22 negara sertai ICCEIW

Iklan
Wan Rosdy (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara UniPSAS diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin (kiri) dan wakil universiti di bawah Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia sempena Persidangan ICCEIW pada Ahad.

KUANTAN - Seramai 300 peserta dari 22 negara mengambil bahagian pada Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari Dalam Dunia Islam (ICCEIW) yang dekat sini bermula Ahad hingga Selasa.

Persidangan itu dianjurkan bertujuan menyediakan satu dimensi baharu perbincangan ilmu dalam bidang ilmu terutama bidang pendidikan dengan pelbagai tema bersifat holistik dan integratif.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai perkara dibincangkan dalam persidangan itu dengan harapan ia memberi kesan positif kepada usaha pembangunan Islam dan akademik ummah.

Menurutnya, pada masa sama, penganjuran persidangan antarabangsa seperti itu diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan dunia Islam ke peringkat antarabangsa.

Iklan

"Persidangan ini julung kali diadakan kerajaan Pahang dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia.

"Penganjuran bersama organisasi peringkat antarabangsa ini sekali gus membantu melonjakkan keterlihatan UnIPSAS, Yayasan Pahang dan MUIP melalui medium pendidikan dan penyelidikan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari Dunia Islam (ICCEIW) pada Ahad.

Wan Rosdy (kanan) beramah mesra bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian sempena ICCEIW bermula Ahad hingga Selasa depan.

ICCEIW turut disertai Rektor Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Daud.

Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, persidangan antarabangsa itu sebahagian usaha kerajaan negeri dalam meneruskan kelestarian dan pembangunan institusi pendidikan Islam di negeri ini dengan lebih progresif.

"Kerajaan Pahang, melalui Yayasan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan MUIP) amat komited terhadap pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini, bermula dari peringkat awal persekolahan ke peringkat doktor falsafah.

"Ia dibuktikan melalui penubuhan institusi pendidikan Islam di negeri ini bermula dari peringkat tadika seperti Tadika Tahfiz Negeri Pahang, Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang, Sekolah Agama Negeri dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

"Kesedaran tentang perlunya menanamkan nilai keislaman yang kuat sejak kecil menjadikan Pahang memiliki sistem pendidikan Islam yang menyeluruh untuk semua peringkat," jelasnya.

Wan Rosdy berkata, usaha yang dijalankan kerajaan negeri itu diharap dapat dikongsi bersama para peserta yang ICCEIW.

Majlis penutup ICCEIW dijangka akan disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Selasa ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!