Biar polis jalan siasatan isu pamer gambar Agong - Amirudin

Iklan
Amirudin. Foto Bernama

HULU SELANGOR - Semua pihak perlu memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung tindakan dua lelaki mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes.

Iklan
Iklan

"Saya minta ia disiasat...mungkin hasratnya lain tetapi ia harus disiasat apa tujuan mereka sebenarnya,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Komuniti Pendidik dan Jemaah Haji Muassasah Daerah Hulu Selangor 2024 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim dalam kenyataan hari ini memaklumkan, polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 60-an dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kempen PRK KKB, semalam.

Iklan

Sementara itu, Amirudin turut menafikan dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan negeri telah menaikkan kadar cukai pintu sehingga empat kali ganda.

Menteri Besar Selangor itu berkata, sebarang kenaikan cukai yang dicadangkan Pihak Berkuasa Tempatan memerlukan kelulusan kerajaan negeri dengan mengambil kira maklum balas yang diterima.

Iklan

"Mungkin dia (Mohamed Azmin) terdesak tidak ada isu lain nak digunakan (pada kempen PRK) jadi dia gunakan isu sensasi seperti itu.

"Sebenarnya penilaian itu perlu untuk menilai hartanah.

"Kalau (nilai) hartanah merudum itu petanda yang buruk, tetapi nilai hartanah yang meningkat itu perlu juga kena diikuti dengan peningkatan cukai sedikit dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, Amirudin mewakili Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menyerahkan replika cek sumbangan dana pengurusan kepada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 54 sekolah di Daerah Hulu Selangor dengan setiap sekolah menerima sumbangan RM1,000.

Beliau turut menyerahkan replika cek berjumlah RM222,000 daripada MBI sebagai simbolik sumbangan kepada 222 jemaah muassasah dengan setiap jemaah memperoleh sumbangan bernilai RM1,000. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!