Warga SJKC Chi Sin, ibu bapa gotong-royong raikan hari raya

Iklan
Lebih menarik, guru berbangsa Cina di sekolah itu pertama kalinya berpeluang mempelajari masakan tradisi masyarakat Melayu antaranya rendang,lemang dan ketupat.

JEMPOL - Warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Sin, Batu Kikir dekat sini meneruskan tradisi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mengambil pendekatan bergotong-royong memasak sendiri juadahnya berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

Lebih menarik, guru berbangsa Cina di sekolah itu berpeluang buat pertama kalinya mempelajari masakan tradisi masyarakat Melayu antaranya rendang, lemang dan ketupat.

Iklan
Iklan

Guru Besar sekolah terbabit, Won Siew Knew berkata, terdapat 66 pelajar di sekolah itu dan hanya empat daripadanya adalah murid kaum Cina selebihnya merupakan murid Melayu.

"Seronoknya guru-guru kaum Cina dapat belajar masakan masyarakat Melayu, banyak ramuan dan prosesnya, lagi-lagi lemang tetapi hasilnya tidak mengecewakan sebab sedap. Semuanya hasil air tangan ibu bapa murid dan guru-guru di sekolah ini," katanya.

Ibu bapa dan penjaga ambil keputusan membuat kelainan dengan memasak sendiri juadah hari raya sempena sambutan jamuan Hari Raya Aidilfitri SJKC Chi Sin dekat sini.

Iklan

Dalam pada itu, salah seorang bapa pelajar, Asrul Rizal Kamal Arif, 41, berkata, empat orang anaknya semuanya bersekolah di sini.

"Mereka seronok bersekolah di sini, suasananya sangat selesa, kami pun sanggup memberikan 100 peratus tumpuan dan sumbangan tenaga untuk kelancaran semua program sekolah untuk kejayaan anak- anak," katanya.

Iklan

Senada dengannya, Zanariah Abdol Azis, 43, berkata, dia sanggup mengambil cuti bekerja semata-mata untuk memastikan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah itu berjalan lancar.

"Saya harap suasana harmoni membabitkan pelbagai kaum ini kekal sebab ia untuk kebaikan masa depan anak-anak," katanya.

SJKC Chi Sin, Batu Kikir meneruskan tradisi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mengambil pendekatan bergotong-royong memasak sendiri juadahnya, berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

Difahamkan sebelum ini, sekolah ini turut mencipta sejarahnya tersendiri apabila 20 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah itu pada Mac lalu adalah kanak-kanak Melayu.

Trend murid Melayu lebih banyak daripada kaum Cina di SJKC sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan pihak sekolah mengalu-alukan perkembangan positif tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!