Nicol inspirasi Sivasangari

Iklan
Sivasangari

PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari bertekad mengenepikan segala bentuk gangguan dalam usaha meneruskan prestasi cemerlangnya dan mengikuti jejak legenda skuasy negara, Datuk Nicol David dengan memenangi Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada 9 hingga 18 Mei ini.

Sivasangari yang menduduki ranking ke-11 dunia baru-baru ini selepas menjulang piala Kejohanan Skuasy Klasik London bertaraf Emas di Alexandra Palace, London bulan lalu merupakan kemenangan terbesar dalam kerjaya profesionalnya.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kejayaan terbaharunya itu membuatkan dia tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan juara dunia lapan kali dan bekas pemain nombor satu dunia, Nicol yang dianggap sebagai pemain wanita paling hebat dalam sejarah sukan itu.

"...sudah tentu selepas Klasik London ini tekanan semakin bertambah, oleh sebab itu saya bersama Jesse Engelbrecht berusaha untuk mengenepikan semua gangguan tersebut. Secara umumnya, tekanan adalah gangguan kerana kita hanya boleh mengawal sesuatu yang ada dalam kawalan kita. Kadangkala memang sukar bagi saya apabila dibandingkan dengan Nicol.

Iklan

Malah, Sivasangari berpendapat menjadi juara dunia sebanyak lapan kali merupakan satu kejayaan yang amat luar biasa dan dia sendiri sendiri tidak tahu bagaimana Nicol boleh melakukannya.

"El Sherbini berada di landasan itu sekarang, yang sekali lagi saya anggap sesuatu yang menakjubkan kerana bagi saya bermimpi untuk sekadar memiliki satu juara dunia sahaja sesuatu yang saya perlu berusaha keras ke arahnya. Sudah tentu ia jadi impian dan matlamat yang ingin saya capai pada masa depan,” katanya menerusi kenyataan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Iklan

Begitupun, kejayaan Sivasangari di Klasik London juga disifatkan sebagai satu pencapaian luar biasa melihat kepada perjalanannya untuk kembali ke sukan itu selepas terbabit dalam kemalangan kereta yang serius pada 2022 mengakibatkan dia mengalami keretakan pada leher dan muka.

Akibat kemalangan itu, Sivasangari terpaksa mengenakan alat bantuan pada leher selama berbulan-bulan, yang ketika itu dilihat bukan sahaja boleh menyebabkan pengakhiran kepada kerjaya skuasynya yang baru bermula bahkan kecederaan itu berpotensi merubah hidupnya sepanjang hayat.

Menurutnya bagi setiap pemain skuasy memenangi Juara Dunia merupakan satu impian yang menjadi kenyataan, tetapi untuk namanya terukir pada piala tersebut adalah sesuatu yang besar dan menakjubkan.

Jelajah Dunia PSA memaklumkan Sivasangari telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik bagi Mac/April selepas menerima 65 peratus undian bagi anugerah itu dalam tinjauan menerusi laman sosial Instagram Jelajah Dunia PSA, dengan Satomi Watanabe dan Nouran Gohar turut dicalonkan.

Anugerah itu melengkapkan kejayaan luar biasa pemain nombor satu Malaysia itu, yang menumbangkan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini dari Mesir, nombor empat dunia Nele Gilis dari Belgium dan nombor tiga dunia Hania El Hammamy dari Mesir untuk merangkul kejuaraan Klasik London iaitu gelaran sulung bertaraf Emas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!