Kes denggi Negeri Sembilan meningkat

Iklan
Zamrah (tengah) melepaskan nyamuk aedes berwolbachia sambil dibantu Harlina pada Pelancaran Program Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia peringkat Negeri Sembilan.

NILAI - Sebanyak 2,834 kes demam denggi direkodkan di negeri ini sehingga Minggu Epidemilogi ke-17 (sehingga 27 April), berbanding 1,032 kes tempoh sama tahun lalu.

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) Negeri, Zamrah Tengku Sulaiman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 1,792 kes(173.6 peratus).

Iklan
Iklan

"Selain itu sebanyak dua kes kematian direkodkan di Seremban sepanjang tahun ini dan melihat kepada peningkatan kes denggi di negeri ini, saya boleh katakan ia agak membimbangkan.

"Tapi Insya-ALLAH, dengan kerjasama semua pihak ia dapat ditangani dan yang pentingnya adalah kesedaran daripada penduduk untuk mengambil langkah-langkah pencegahan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Program Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia Peringkat Negeri Sembilan 2024 di Apartment Desa Anggerik di sini pada Sabtu.

Berkenaan program terbabit Zamrah berkata, Apartment Anggerik dan Taman Desa Anggerik merupakan lokaliti pelepasan nyamuk aedes berwolbachia yang pertama di Negeri Sembilan.

Zamrah (kanan) dan Harlina mendengar penerangan daripada petugas Jabatan Kesihatan berkenaan nyamuk aedes.

Iklan

Jelasnya, ia sebagai langkah proaktif untuk mengekang peningkatan kes dan wabak denggi.

"Zon A Desa Anggerik ini dipilih berdasarkan beberapa faktor yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu antaranya dari segi bebanan kes dan juga kerjasama baik daripada penduduk.

"Nyamuk aedes berwolbachia ini tidak memberi kesan sampingan kepada manusia, haiwan dan alam sekitar,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abd Rashid berkata, pemantauan akan dilakukan selama dua tahun enam minggu bagi melihat keberhasilan kaedah pelepasan nyamuk terbabit untuk mengurangkan kes denggi.

Bagaimanapun katanya, kerjasama daripada penduduk setempat faktor utama kejayaan kaedah terbabit dengan memastikan kebersihan dan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!