3,283 ular ditangkap di Terengganu sejak Januari

Iklan
APM Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 3,283 kes tangkapan pelbagai spesies ular sejak awal Januari. Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 3,283 kes tangkapan pelbagai spesies ular di negeri ini sejak awal Januari sehingga kini.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah memaklumkan tidak dinafikan bahawa faktor cuaca panas ketika ini mahupun lembap pada musim banjir antara faktor utama kepada peningkatan kes tangkapan ular di Terengganu.

Iklan
Iklan

"Daerah Kuala Terengganu mencatatkan tangkapan paling tinggi iaitu sebanyak 217 kes pada bulan Februari lepas.

"Daripada keseluruhan kes yang direkodkan, ular sawa batik mencatatkan reptilia paling banyak ditangkap.

Iklan

"Dari segi saiz, ular paling besar yang ditangkap adalah seekor ular sawa batik seberat hampir 120 kilogram di Kampung Gong Awang, Kuala Nerus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

"Selain itu, faktor sampingan bagi peningkatan kes tangkapan ular disebabkan habitat mereka terganggu, diceroboh atau dimusnahkan.

Iklan

"Spesies ini turut mencari kawasan yang selamat untuk memburu dan mencari kawasan bagi berlindung," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Rosman menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terjumpa ular di rumah mereka.

"Apa yang perlu mereka lakukan adalah kenal pasti di mana ular itu berada dan terus hubungi APM melalui talian MERS 999 bagi mendapatkan bantuan.

"Selain itu, kenal pasti jenis ular, warna serta corak badannya dan berikan maklumat tepat kepada pasukan penyelamat. Arahkan penghuni rumah untuk segera keluar dan tutup pintu serta tingkap bagi mengelakkan ular itu dari keluar.

"Kurang bergerak di hadapan ular serta jangan lakukan sebarang tindakan provokasi kerana ular akan bertindak agresif jika terancam,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!