SETIU - Lazimnya aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu melabuhkan tirai menjelang Julai berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Namun, situasi luar biasa berlaku di sini baru-baru ini apabila sekumpulan pengusaha bot pelancong terkejut kerana berjaya menaikkan 120 kilogram (kg) sotong hasil mencandat dalam tempoh hanya satu malam.
Pengusaha bot memancing, Abd Hamiz Jazli, 34, berkata, kejayaan membawa pulang sotong dalam jumlah yang banyak disifatkan sebagai rezeki terpijak dan fenomena unik memandangkan aktiviti berkenaan sudah lama dihentikan pada sebelah malam sejak Julai lalu.
Menurutnya, keputusan turun ke laut di Jeti Kampung Baru Penarik itu pada mulanya hanya menguji bot selepas selesai dibaiki, selain mencuba nasib menguji umpan candat keluaran jenamanya sendiri bersama kru bot.
"Musim sotong juga bersifat ‘on-off’ (tidak menentu), kadang-kadang ada dan kadang-kadang kurang. Disebabkan tiada aktiviti mencandat selama beberapa bulan, 'spot-spot' di sini lama dibiarkan tanpa dituai hasilnya. Atas sebab itu mungkin apabila kami turun ke laut menjelang musim tengkujuh ini, hasilnya sangat luar biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas mengenai tangkapan besar itu, Abd Hamiz yang mesra dengan panggilan 'Beylie' berkata, dia tidak menyangka mendapat rezeki sotong segar sebanyak itu kerana trip berkenaan hanya disertai lima kru bot yang juga pekerjanya sendiri.
Katanya, maklumat awal mengenai kewujudan sotong berkenaan diperoleh daripada nelayan kecil yang melaporkan sotong tersangkut pada jaring ikan mereka.
"Kami ambil koordinat yang diberikan dan terus pergi ke kawasan itu menggunakan sonar. Syukurlah, kami memang jumpa kawanan sotong itu dan berjaya dapat hasil dalam 120kg yang ditangkap dalam masa satu malam sahaja oleh seramai lima orang.
"Kami menggunakan set joran ringan dan teknik mencandat sepenuhnya, manakala sotong yang timbul di permukaan air pula disauk menggunakan jaring. Kesemua hasil tangkapan ini dibahagikan sama rata sesama kami," jelasnya yang sudah berpengalaman 10 tahun membawa pelanggan memancing dan mencandat sotong di perairan Setiu.
Tambah Abd Hamiz, kemunculan sotong yang melimpah-ruah menjelang musim tengkujuh itu adalah satu fenomena unik yang jarang berlaku di kawasan mereka memandangkan kebanyakan nelayan dan pengusaha bot sudah lama menghentikan operasi trip malam.
"Berbeza dengan tempat lain seperti di Mersing, Johor yang mana sotong dikatakan masih boleh didapati sehingga ‘off-season’ (musim tengkujuh), tapi perairan Setiu ada corak musim yang tersendiri," ujarnya.
Mengenai aspek pemasaran, Abd Hamiz berkata, hasil tangkapan biasanya dijual kepada peraih sekiranya mereka turun mencandat secara suka-suka.
Bagaimanapun, katanya, fokus utama mereka tetap kepada penyediaan perkhidmatan sewaan bot bagi pelanggan luar.
"Penduduk tempatan di sini lebih suka turun mencandat sendiri untuk santapan keluarga sebab kebanyakan mereka ada bot sendiri," ujarnya lagi.