Geng samun, ragut di Suria KLCC tumpas

Iklan
Habibi menunjukkan motosikal yang dirampas dalam Ops Rentap Trio.

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu termasuk tiga wanita ditahan dalam Ops Rentap Trio kerana disyaki terlibat dalam kes samun, ragut dan curi motosikal di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, pihaknya menahan dua lelaki dan seorang wanita di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 28 Mac lalu.

Iklan
Iklan

"Kita turut merampas motosikal, pakaian yang digunakan penjenayah ketika samun dan topi keledar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Habibi berkata, hasil soal siasat, polis memberkas lima individu termasuk dua wanita di ibu kota pada Isnin lalu.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati kumpulan yang aktif sejak awal tahun ini telah melakukan 40 kes samun dan ragut serta lima kes curi motosikal," katanya.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu adalah mereka menyasarkan mangsa di kawasan tumpuan pelancong seperti di sekitar Suria KLCC pada hujung minggu.

Iklan

Habibi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Hasil saringan air kencing pula mendapati tiga lelaki dan dua wanita positif dadah," katanya.

Beliau berkata, jaminan diberikan kepada salah seorang wanita.

"Suspek yang lain masih ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 akta sama.

"Mereka dijangka dituduh di mahkamah pada esok membabitkan 18 kes jenayah di Kuala Lumpur," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!