Kerajaan perlu teliti semula jurang pencen pesara ATM - RAFOC

Iklan
Tangkap layar artikel berkaitan pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji penjawat awam pada Rabu

SHAH ALAM - Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC) menggesa kerajaan untuk meneliti semula jurang pencen bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presidennya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata, sistem pencen semasa telah dikritik kerana tidak mencukupi hingga menyebabkan majoriti veteran terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Iklan
Iklan

"Kenaikan gaji untuk kakitangan awam merupakan langkah positif, tetapi penting juga bagi kerajaan untuk menangani jurang pencen yang dihadapi oleh veteran.

"Salah satu penyelesaian adalah menambah baik skim pencen semasa untuk veteran dengan mengambil kira keadaan dan sumbangan mereka. Penyediaan pendapatan mencukupi serta mampan menerusi pertimbangan berkaitan tahun perkhidmatan, pangkat termasuk beberapa faktor lain yang relevan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Beliau berkata, kenaikan tertinggi dalam sejarah negara itu melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun serta perincian mengenainya akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

Iklan

Dalam pada itu Abdul Azizi memaklumkan, jurang pencen yang dihadapi oleh veteran bukan hanya isu moral tetapi juga isu ekonomi.

"Veteran memberikan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi dan adil jika mereka dapat menikmati hasil usaha mereka pada masa persaraan.

"Mengatasi jurang pencen tidak hanya akan memberi manfaat kepada veteran tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan kerana mereka akan mempunyai lebih banyak pendapatan yang boleh digunakan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi," jelas beliau.

Menurutnya, dengan menambah baik skim pencen dan menyediakan faedah tambahan, kerajaan menunjukkan komitmen dalam mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan mereka yang telah berkhidmat bagi negara.

Tambah beliau, tindakan tersebut bukan hanya kewajipan moral tetapi juga keperluan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada veteran dan masyarakat secara lebih luas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!