Individu disenarai hitam dilarang mengajar tahfiz

Iklan
Mohd Na'im

PUTRAJAYA - Individu yang disenarai hitam berikutan terlibat dengan kesalahan jenayah tidak akan dibenar untuk mengajar di institusi tahfiz seluruh negara.

Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pihak tahfiz perlu patuh kepada Panduan Penubuhan dan Pendaftaran Institusi Tahfiz yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2019.

Iklan
Iklan

"Segala panduan yang diperlukan untuk institusi berdaftar, termasuk tapisan disiplin dan jenayah telah dinyatakan dalam panduan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar beliau, Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) juga disaran untuk menggunakan garis panduan tersebut bagi membantu menyelaras segala isu terlibat.

Iklan

"Sekiranya individu tersebut didapati bersalah dan disenarai hitam oleh pihak polis, maka mereka tidak dibenarkan untuk mengajar,” tegas Mohd Na’im.

Sebelum ini, media melaporkan seorang mudir rumah anak yatim dan pusat tahfiz di Bachok dan Machang, Kelantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap lima pertuduhan meliwat pelajarnya sejak tiga tahun lepas.

Iklan

Muzaidi Mohamad, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa meliwat tiga pelajar berkenaan yang berusia 12 hingga 15 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bilik mudir di sebuah rumah anak yatim di Bachok dan di dalam bilik tidur di sebuah maahad tahfiz di Machang kira-kira jam 10 pagi hingga 10 malam pada April 2021 hingga April tahun ini.

Daripada lima pertuduhan tersebut, empat pertuduhan melibatkan dua mangsa yang sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!