KUALA LUMPUR - Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak setakat jam 6 petang ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, bagi laluan PLUS (E1) menghala ke utara, trafik sesak dari Bukit Beruntung ke Bukit Tagar, Gopeng ke Simpang Pulai, Terowong Menora ke Kuala Kangsar serta Changkat Jering ke Taiping Utara.
"Bagi arah selatan pula, trafik dilaporkan perlahan dari Jawi ke Bandar Baharu serta Sungkai ke Slim River.
"Di PLUS (E2), aliran trafik turut perlahan dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar serta dari Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale berikutan kemalangan di Kilometer 277 yang menghalang lorong kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, kesesakan turut dilaporkan di Lebuhraya KLK melibatkan laluan dari Gombak ke Genting Sempah serta dari Lanchang menghala ke Bentong.
Sementara itu, LLM menjangkakan jumlah kenderaan di semua lebuh raya utama akan terus meningkat sehingga lewat malam ini berikutan orang ramai mengambil peluang menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus yang ditawarkan kerajaan.
"Memandangkan diskaun tol berakhir 11.59 malam ini, kami menjangkakan trafik terus meningkat sehingga lewat malam, khususnya di jajaran PLUS E1, E2 dan Lebuhraya KLK,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, bermula 12.01 tengah malam, 14 Februari dan berakhir pada 11.59 malam, hari ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000, laman X @plustrafik, talian LLM di 1-800-88-7752 atau laman X @llmtrafik. - Bernama