Najib dapat persetujuan Kabinet sebelum luluskan surat sokongan bon AS$3 bilion

Iklan
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada menteri-menteri Kabinet sebelum meluluskan surat sokongan berhubung penerbitan bon sebanyak AS$3 bilion (RM14.3 bilon) oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu 1MDB Global Investment Berhad (1MDB GIL) pada 14 Mac 2013.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada menteri-menteri Kabinet sebelum meluluskan surat sokongan berhubung penerbitan bon sebanyak AS$3 bilion (RM14.3 bilon) oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu 1MDB Global Investment Berhad (1MDB GIL) pada 14 Mac 2013.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin, 37, bersetuju dengan cadangan peguam mewakili Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bahawa Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu telah mendapat persetujuan daripada menteri-menteri Kabinet, selepas memorandum mengenai surat sokongan itu dibentangkan semasa Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 13 Mac 2013.

Iklan
Iklan

Saksi pendakwaan ke-49 itu turut bersetuju dengan cadangan Wan Azwan Aiman bahawa ketika membentangkan memo terbabit, Najib hanya menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kewangan dan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam penerbitan bon itu.

Wan Azwan Aiman: Tindakan Datuk Seri Najib yang menyatakan risiko-risiko penerbitan bon ini ketika MJM menunjukkan beliau tiada kepentingan mengenai perkara terbabit, malah risiko yang dimaklumkan mungkin menyebabkan ahli Kabinet tidak setuju dengan pengeluaran surat sokongan itu.

Iklan

Nur Aida: Tidak setuju.

Wan Azwan Aiman: Sekiranya Datuk Seri Najib mempunyai kepentingan dalam penerbitan bon ini, beliau sepatutnya berjaya mendapatkan jumlah dua kali ganda lebih besar (AS$6 bilion daripada jumlah bon dinyatakan (AS$3 bilion).

Iklan

Nur Aida: Tidak setuju.

Sebelum ini, pada November 2021, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sama turut menyatakan kerajaan Malaysia mengambil maklum bahawa 1MDB GIL akan menerbitkan bon sebanyak AS$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

Ismee berkata, surat sokongan itu menjelaskan sekiranya peminjam (1MDB GIL) tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang ini, 1MDB akan memberikan bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang itu.

"Selain itu, sekiranya 1MDB gagal untuk membayar hutang berkenaan, maka kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab itu untuk membiayai 1MDB membayar hutang ataupun secara langsung membayar hutang itu sehingga selesai," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-13.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 Mei ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!