Lelaki diberkas larikan beg tangan wanita hamil

Iklan
Mohd Iqbal

SHAH ALAM - Seorang lelaki diberkas selepas mencuri beg tangan milik wanita mengandung dalam tandas di sebuah pasar raya dekat Seksyen 23 di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira jam 10.57 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kejadian ketika itu, mangsa berusia 37 tahun yang sarat mengandung sembilan bulan pergi ke pasar raya tersebut untuk membeli persiapan bersalin seorang diri.

"Mangsa kemudiannya masuk ke tandas sebelum menyedari beg tangannya yang disangkut di pintu tandas telah dilarikan oleh suspek.

Iklan

"Mangsa kemudiannya bergegas keluar dari tandas dan menjerit meminta tolong.

"Orang ramai yang berada di sekitar lokasi kemudiannya mengejar sebelum berjaya menangkap suspek," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohd Iqbal berkata, suspek berjaya ditahan bersama beg tangan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Semakan mendapati suspek berumur 22 tahun itu memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek direman selama tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Fairunizam Puasa di talian 013-6616845," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!