Tak rugi berbuat baik sesama manusia

Iklan
Antara perkongsian yang dikongsi pengguna jalan raya di media sosial.

SETIAP kali musim perayaan, kesemua rangkaian lebuh raya utama di negara ini seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 pasti mengalami kesesakan berikutan peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya.

Walaupun ada yang menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps, mahu tak mahu pemandu kenderaan tetap akan terperangkap di dalam kesesakan teruk.

Iklan
Iklan

Justeru, pemandu kenderaan perlu bersedia menerima hakikat perjalanan mereka akan mengambil masa lebih lama berbanding hari-hari biasa.

Misalnya dari ibu negara ke Alor Setar boleh mencecah 20 jam, tempoh perjalanan lebih lama berbanding penerbangan dari Malaysia ke London yang mengambil masa lebih kurang 13 jam.

Iklan

Di tengah kepenatan dan ledakan tekanan emosi akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, penulis tertarik dengan sikap baik hati segelintir masyarakat kita.

Ada antara mereka bersimpati dengan nasib pemandu dan keluarga yang terperangkap di dalam kesesakan, lantas membuat kebajikan bagi mengubat emosi pengguna jalan raya.

Iklan

Sikap baik segelintir masyarakat ini turut menerima pujian daripada netizen yang menyifatkan perbuatan mereka sebagai penawar atau penyejuk hati ketika golongan perantau tertekan dengan keadaan sesak di jalan raya.

Kasihan melihat pengguna jalan raya berpanas - walaupun kenderaan mereka dilengkapi penyaman udara - menyebabkan ada penduduk bermurah hati menyediakan minuman dan buah-buahan untuk melegakan rasa dahaga ketika terperangkap di dalam kesesakan.

Baru-baru ini, tular video tular beberapa penduduk menunggu di tepi jalan di Jalan Pantai, Kampung Beris Tokku di Setiu, Terengganu sambil berkongsi rezeki memberikan potongan tembikai kepada pengguna jalan raya yang sedang mengharungi kesesakan.

Menerusi video yang dimuat naik pengguna TikTok itu, potongan tembikai diletakkan dalam pinggan plastik dan diberikan secara percuma kepada pengguna jalan raya.

Tidak setakat itu, penduduk di Kuala Pertang di Kuala Krai, Kelantan turut membuat kebajikan dengan mengagihkan air minuman secara percuma kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan kampung tersebut untuk pulang ke ibu kota selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menariknya, air kotak dan air botol itu adalah hasil derma daripada penduduk kampung yang turut mempunyai sikap empati terhadap kesulitan dihadapi orang ramai.

Selain menghulurkan makanan dan minuman, penulis juga memuji inisiatif sebuah keluarga di Kampung Beris Tokku di Setiu, Terengganu apabila membenarkan pengguna jalan raya yang ‘tersangkut’ menggunakan tandas rumah mereka secara percuma.

Tindakan keluarga Siti Noranis Sakarnor itu merupakan satu usaha murni dan memberi nilai tambah kepada orang lain yang sedang menghadapi kesusahan.

Bukan hanya tandas, keluarga tersebut turut menyediakan ruang solat dan memberikan air panas kepada pengguna jalan raya yang ingin membancuh susu anak.

Inilah contoh nilai murni yang masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira darjat, bangsa atau agama.

Sikap sentiasa mengambil peluang berbuat baik kepada orang ramai sudah tentu satu perkara yang diimpikan kita semua. Tidak rugi sekiranya berbuat baik sesama manusia.

Bahkan, bagi umat Islam, perbuatan sebegini secara tidak langsung menjadi satu medium dakwah untuk menunjukkan agama mengajar umatnya agar sentiasa berbuat baik dengan semua manusia.

Dengan berbuat baik kepada orang ramai dapat menciptakan hubungan yang harmonis, meningkatkan kebahagiaan dan memperkuat ikatan sosial.

Kita berharap sikap-sikap murni sebegini akan menjadi ikutan dan diteruskan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa serta agama.

* Norazwani Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Pahang

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!