Konflik Israel-Palestin: Yang betul-betul salah ialah AS, kata Tun M

Iklan
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Amerika Syarikat (AS) berhubung konflik yang berpanjangan di Palestin hingga mengakibatkan kematian ribuan nyawa rakyat negara berkenaan.

Malah, lebih mengecewakan kata Dr Mahathir, undang-undang antarabangsa tidak boleh dikuatkuasakan disebabkan kuasa yang dimiliki oleh AS yang telah menyekat dunia daripada bertindak.

Iklan
Iklan

"Tidak ada kuasa yang boleh halang Israel daripada terus membunuh sesuka hati mereka. Siapa salah apabila undang-undang antarabangsa tidak boleh dikuatkuasakan.

"Yang betul-betul salah ialah Amerika Syarikat dengan statusnya sebagai kuasa dunia dan hak vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC)," katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Isnin.

Iklan

AS secara tradisinya melindungi sekutunya Israel daripada tindakan di PBB dan sudah dua kali menggunakan kuasa vetonya untuk resolusi berhubung perang di Gaza yang dikemukakan di UNSC, sejak 7 Oktober tahun lalu.

Terbaharu pada 19 April lalu, AS menggunakan kuasa veto bagi menolak usul PBB untuk mengiktiraf negara Palestin.

Iklan

Sehubungan itu, Dr Mahathir menegaskan AS tidak lagi boleh bercakap berhubung hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi.

"Jadi kamu (AS) hipokrit," ujarnya.

Sejak Oktober tahun lalu, tentera Israel membunuh 34,183 warga Palestin dan mencederakan lebih 77,000 yang lain kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Menurut Pejabat Media Kerajaan berpangkalan di Gaza, tentera Israel melakukan 3,021 pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga warga Palestin di seluruh Semenanjung Gaza sejak serangan Israel bermula pada 7 Oktober tahun lalu.

Ia berkata, sekurang-kurangnya 485 petugas perubatan, 66 petugas pertahanan awam, 140 wartawan dan 224 petugas bantuan kemanusiaan dalam kalangan warga Palestin menjadi mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!