Cubaan seludup 30kg ganja, 1.02 tan daun ketum gagal

Iklan
Baderulhisham (kiri) menunjukkan rampasan ganja dan daun ketum yang berjaya dilakukan pada Sabtu.

KANGAR - Polis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 30 kilogram ketulan mampat dadah jenis ganja dan 1.02 tan daun ketum dalam dua kejadian berasingan pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, aktiviti mencurigakan itu dikesan oleh unit dron Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menemui sebuah pikap menghampiri kawasan laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut pemeriksaan rapi dilakukan ke kawasan berkenaan pada jam 4.45 pagi.

"Satu pasukan PGA Batalion Satu telah pergi ke sektor Chalie 15 berhampiran tiang BKHPDG 0655 telah menjumpai tiga guni warna putih di dalamnya berisi 30 ketulan mampat berbalut kertas ‘aluminium foil’ berwarna emas.

Iklan

"Ketulan itu yang disyaki dadah jenis ganja lebih kurang berat 30 kilogram bernilai kira-kira RM93,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada Isnin.

Baderulhisham berkata, dadah tersebut cuba diseludup ke negara ini dengan memotong dawai pagar sempadan.

Iklan

Menurutnya, ganja yang dirampas dianggarkan mampu digunakan seramai 150,000 orang penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Baderulhisham (kiri) melihat ketulan ganja mampat yang berjaya dirampas pada Sabtu di kawasan laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian berasingan, polis berjaya menahan seorang lelaki bersama 30 guni berisi daun ketum seberat 1.02 tan bernilai RM10,200 yang cuba dimuatkan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Wang Kelian pada Sabtu.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan yang sedang dilakukan di sebuah kawasan semak di Kampung Wang Kelian, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar sebelum melakukan tangkapan pada jam 2.30 petang.

"Pemeriksaan telah menjumpai 30 guni berjahit di dalamnya terdapat daun-daun yang disyaki daun ketum.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat pembungkusan semula di kawasan sekitar Kampung Wang Kelian di daerah Padang Besar sebagai transit sebelum dihantar ke negara jiran," ujar beliau.

Tambahnya, hasil ujian air kencing terhadap suspek berusia 20 tahun itu mendapati positif dadah jenis syabu.

Semakan rekod pula mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan suspek direman tiga hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!