KRM harap individu disyaki pecah amanah didakwa segera

Iklan
Amir Amri menyampaikan amanat pada Majlis penutup seminar Pengurusan Malaysia Rugby 2024 di Wisma OCM pada Ahad. Foto Bernama

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) berharap individu di sebalik isu pecah amanah disyaki berlaku dalam pengendalian akaun bank badan induk itu didakwa segera.

Presidennya, Amir Amri Mohamad mendedahkan impak daripada isu pecah amanah itu masih dirasai KRM dan secara tidak langsung menjejaskan kantung kewangan mereka dan usaha mencari tajaan.

Amir Amri (lima, kiri) bergambar bersama ahli persatuan ragbi pada majlis penutup seminar Pengurusan Malaysia Rugby 2024 di Wisma OCM pada Ahad. Foto Bernama

Iklan
Iklan

"Kami harap kes akan didakwa dalam masa terdekat kerana ia memberi satu kesan yang besar kepada perkembangan dan bantuan kepada KRM. Selagi kes ini tidak didakwa, semua lihat seperti di pihak KRM tiada tindakan susulan yang diambil atas apa yang telah berlaku.

"Saya yakin dan percaya pihak polis akan jalankan tugas sebaik-baiknya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Penutup Seminar KRM 2024 di Wisma OCM di sini pada Ahad.

Iklan

Pada Disember 2022, KRM membuat laporan polis berhubung kes pecah amanah disyaki dilakukan seorang daripada kakitangannya dengan memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai seorang daripada penandatangan cek.

Menurut KRM, kakitangan itu juga disyaki memalsukan tandatangan untuk membuat pengeluaran wang tunai daripada bank.

Iklan

Dalam perkembangan berasingan, Amir berkata, KRM hari ini bersetuju untuk melaksanakan penetapan baharu iaitu seorang pemain hanya boleh mendaftar untuk bermain dalam satu liga negeri sahaja bagi tahun 2024.

Beliau menyifatkan perkembangan itu yang melarang pemain beraksi di dua liga negeri dalam satu masa antaranya dapat membantu kesatuan negeri masing-masing mengenal pasti bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi

"Bila kita buat satu pemain satu liga negeri akan berlaku pertumbuhan pemain baharu dari negeri tersebut, (dapat) bagi ruang dan peluang kepada pemain baharu menonjol di peringkat liga negeri.

"Ini merupakan satu pandangan dan keputusan yang begitu positif bagi saya. Kita kena mencuba benda yang baharu dan harapkan hasil yang positif. Kalau ia nampak baik kita akan teruskan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KRM akan berbincang bersama ahli gabungannya dari semasa ke semasa berhubung penetapan baharu itu termasuk cadangan untuk mewujudkan satu mekanisme yang akan memanfaatkan kedua-dua kesatuan negeri dan pemain. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!