Guardiola minta pemain bertenang, abaikan Arsenal

Iklan
Guardiola dan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma meraikan kemenangan City ke atas Newcastle di Stadium Etihad pada awal pagi Ahad. Foto FB Manchester City

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola memilih pendekatan santai dalam mengendalikan tekanan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United di Stadium Etihad, awal pagi Ahad.

Guardiola secara berseloroh menyarankan pemainnya menikmati cuti singkat dengan koktel caipirinha dan daiquiri sebelum kembali memberi tumpuan penuh kepada baki musim, ketika City merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan itu, pemain muda Nico O’Reilly mencuri tumpuan apabila meledak dua gol pada minit ke-14 dan ke-27, manakala Newcastle hanya mampu merapatkan kedudukan menerusi jaringan Lewis Hall.

Keputusan itu menyaksikan City kini mengumpul 56 mata dengan perbezaan gol +31, satu gol di belakang Arsenal.

Iklan

Arsenal kendalian Mikel Arteta berpeluang melebarkan jurang kepada lima mata sekiranya menewaskan Tottenham Hotspur tengah malam ini, namun mereka akan beraksi satu perlawanan lebih.

Dengan pertemuan terus antara kedua-dua pasukan dijadualkan pada 18 April, persaingan kejuaraan kekal terbuka.

Iklan

City seterusnya dijadualkan bertemu Leeds United hujung minggu ini.

Guardiola mengakui majoriti pemainnya belum pernah melalui tekanan perebutan gelaran di bawah kendaliannya, namun percaya skuadnya mampu menyesuaikan diri.

“Pemain perlu menikmatinya dan melalui pengalaman ini sendiri. Setiap perlawanan selepas ini akan terasa besar, terutama di laman sendiri dengan baki lima perlawanan,” katanya.

Guardiola turut memuji peningkatan prestasi O’Reilly yang diturunkan di posisi tengah menyerang, selain menyifatkan Erling Haaland sebagai pemain terbaik perlawanan susulan sumbangan besar penyerang Norway itu dalam permainan fizikal.

Sementara itu, kekalahan berkenaan menamatkan tiga kemenangan berturut-turut Newcastle, namun pengurus Eddie Howe tetap optimis dengan hala tuju pasukannya.

Dalam perkembangan lain, Guardiola turut memberi penghormatan kepada bekas pemain City, James Milner yang mencipta rekod penampilan terbanyak EPL dengan aksi ke-654 bersama Brighton & Hove Albion, mengatasi pencapaian Gareth Barry.