Proses penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu lancar - Polis Selangor

Iklan
Penyokong Kerajaan Perpaduan berarak sempena hari penamaan calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu menuju ke Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada Sabtu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Sabtu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, seramai 284 pegawai dan anggota polis telah digerakkan dengan dibantu 15 kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Iklan
Iklan

"Polis Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang bertanding kerana memberikan kerjasama serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Diharap kerjasama yang diberikan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sehingga ke hari pengundian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Iklan
Penyokong Perikatan Nasional berarak sempena hari penamaan calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu menuju ke Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada Sabtu. Foto Bernama

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini bermula jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Iklan

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!