Pelajar Malaysia masih ketinggalan jauh berbanding Singapura, Korea - Bank Dunia

Iklan
Menurut Bank Dunia, satu perempat kanak-kanak Malaysia kurang kemahiran membaca, menulis dan mengira. Foto hiasan 123RF

SHAH ALAM - Hampir satu perempat kanak-kanak terutama daripada isi rumah berpendapatan rendah kurang kemahiran dari segi asas persekolahan walaupun sudah memasuki pendidikan prasekolah dan tadika untuk belajar membaca, menulis dan mengira.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Bank Dunia, meskipun Malaysia telah mencapai pendidikan rendah lebih universal, namun pelajar di negara ini masih ketinggalan jauh berbanding Singapura dan Korea terutama dalam subjek matematik serta sains.

Iklan
Iklan

Menerusi tinjauan yang dibuat, kemahiran lanjutan perlu dilaksanakan bagi memenuhi pertumbuhan dan peralihan status daripada negara membangun kepada maju apabila pendidikan terus diperkukuh daripada semua peringkat.

"Prospek pertumbuhan jangka panjang Malaysia sangat bergantung kepada pengukuhan modal insan dan dengan menambah baik pendidikan mampu meningkatkan hasil pembelajaran kanak-kanak.

Iklan

"Tinjauan kami mendapati kemahiran insaniah seperti penyelesaian masalah, kepimpinan termasuk komunikasi dan kemahiran teknikal tidak dipenuhi dengan baik menyebabkan daya saing antara rakan-rakan di negara serantau seperti Singapura, Vietnam serta Korea jauh mendahului Malaysia.

"Oleh itu, dengan melabur dalam pendidikan awal yang berkualiti dapat melahirkan daya saing optimum selain prestasi guru yang baik membantu meningkatkan modal insan di negara ini,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, menurut Pengarah Negara Bank Dunia Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop, asas kemahiran dan pendidikan yang kukuh perlu dilakukan bagi melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Tambah beliau, Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang sangat baik, namun ia perlu dimajukan di peringkat rendah dan menengah.

"Kemahiran lanjutan secara asasnya bergantung kepada kemahiran asas yang kukuh, yang dibangunkan melalui pendidikan awal kanak-kanak dan pendidikan rendah berkualiti tinggi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Bank Dunia turut mencadangkan kaedah bagi meningkatkan pendidikan iaitu dengan menambah akses kepada kualiti pendidikan kanak-kanak daripada isi rumah berpendapat rendah dan menilai hasil pembelajaran mereka dengan teliti mengikut piawaian antarabangsa selain melihat prestasi guru secara holistik.

Ujarnya, dengan menyediakan program latihan perguruan yang berkesan dan dasar yang lebih baik dapat membantu memacu kemajuan pendidikan sedia ada.

"Cadangan ini bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat manfaat daripada pendidikan prasekolah yang berkualiti tinggi dan bersedia menghadapi asas pembelajaran di peringkat rendah dengan lebih baik.

"Dasar pendidikan perlu mempertimbangkan pengalaman termasuk keperluan guru bagi memastikan keberkesanan kelestarian pendidikan di Malaysia,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!