Syahid akhirat buat mangsa tragedi

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu dan Khamis.

SHAH ALAM - Kematian mangsa beragama Islam dalam tragedi dua helikopter bergesel sebelum terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, dianggap sebagai syahid kerana terkorban ketika sedang berkhidmat untuk negara.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, syahid yang diperoleh mereka dikategorikan sebagai syahid akhirat, yang merupakan salah satu daripada tiga kategori syahid dalam Islam.

Iklan
Iklan

"Hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang mati syahid lima golongan iaitu orang mati kerana taun (wabak), mati kerana sakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan ALLAH SWT.

"Mereka ini kita kategorikan sebagai syahid akhirat jika mereka beragama Islam kerana mereka terbunuh ketika berkhidmat untuk negara, insya-ALLAH maka dapat syahid akhirat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Beliau menjelaskan, jenazah mangsa yang meninggal dunia dalam kategori syahid akhirat tetap perlu disempurnakan seperti biasa.

Katanya, berbeza dengan syahid dunia dan akhirat yang dikebumikan tanpa dimandikan, iaitu melibatkan seseorang yang meninggal dunia ketika peperangan demi menegakkan agama ALLAH dan mempertahankannya.

Iklan

"Satu lagi kategori adalah syahid dunia iaitu sesiapa yang terbunuh kerana tujuan dunia, maknanya dia berperang kerana mahukan harta rampasan perang, ataupun nak kemasyhuran, dan nak riak,” katanya.

Tragedi pada Selasa itu mengakibatkan seramai 10 terkorban melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Kesemua mereka sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini tetapi dibatalkan susulan insiden tersebut.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar dan video ngeri mangsa nahas kerana ia haram di sisi Islam.

Mohamad Shukri berkata, perbuatan tersebut boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti atau menggores hati keluarga serta waris sekali gus mengundang dosa.

"Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat atau tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan boleh menjatuhkan maruah si mati.

"Islam mengutamakan penghormatan kepada jenazah yang sama seperti mana semasa dia hidup. Kalau masa hidup tidak boleh mengaibkan, maka selepas mati pun tak boleh aibkan dan hukumnya adalah haram, jadi jangan sebarkan gambar atau videonya,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, di Lundang, Kota Bharu pada Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!