Sultan Nazrin berangkat ke sambutan Nuzul al-Quran

Iklan
Sultan Nazrin menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk kepada Penghulu daerah Kampar, Mohd Syamsul Azhar Mohamed Yusop berjumlah RM353,100 pada Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak Tahun 1445H/2024 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Rabu.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Iklan
Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Majlis bermula dengan aluan bacaan dan tadabbur al-Quran diikuti bacaan tahlil sebelum berbuka puasa bersama lebih 1,000 jemaah kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib.

Sultan Nazrin berkenan solat Maghrib berjemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Iklan

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk daripada dana zakat berjumlah RM11,772,300.

Bantuan diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 39,241 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh Perak.

Iklan

Penerima bantuan tersebut dipilih daripada senarai yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri itu.

Selain itu, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan hemodialisis terdiri daripada asnaf dan fakir miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28