Iran keluarkan laporan nahas pesawat penumpang Ukraine terhempas

Iklan
Pesawat penumpang Ukraine jenis Boeing 737 yang terhempas sejurus berlepas di pinggir bandar Parand, Tehran.

TEHRAN - Iran pada Khamis telah mengeluarkan laporan awal mengenai pesawat penumpang Ukraine jenis Boeing 737 yang terhempas sejurus berlepas di pinggir bandar Parand, Tehran dan menyebabkan semua penumpang dan anak kapal terkorban pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut Ali Abedzadeh, Ketua Pertubuhan Penerbangan Iran, kotak hitam pesawat malang itu telah rosak. Selain itu, kerosakan fizikal pada memori kedua-dua peralatan boleh dilihat dengan jelas.

Iklan
Iklan

Iran telah menjemput wakil dari Ukraine dan negara yang relevan untuk melakukan penilaian berhubung nahas itu, lapor laman sesawang berita Khabaronline memetik kenyataan Abedzadeh.

ARTIKEL BERKAITAN: PM Kanada tuduh Iran tembak jatuh pesawat Ukraine

Iklan

Beliau berkata pada hari kejadian, selepas pesawat itu berada pada ketinggian 8,000 kaki, ia telah hilang dari radar dan kemudian terhempas.

Pegawai Iran itu berkata, tiada mesej radio mengenai 'keadaan yang luar biasa' diterima daripada juruterbang.

Iklan

Abedzadeh berkata, penduduk tempatan ternampak pesawat itu terbakar sebelum ia terhempas.

Katanya, terdapat 176 orang dalam pesawat malang itu, termasuk sembilan anak kapal. - Bernama