PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan perhiasan sempena perayaan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Selangor yang menjadi kontroversi sehingga diturunkan tidak bersifat keagamaan dan bukan berbentuk penyebaran agama.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, beliau berkata, jemaah menteri pada Mesyuarat Kabinet hari ini memandang serius tindakan pihak yang sengaja memainkan isu perkauman dan agama dengan membuat laporan polis terhadap hiasan sempena perayaan itu.
"Ia merupakan perkara biasa untuk membuat hiasan bagi meraikan sesuatu acara perayaan seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya.
"Rakyat Malaysia mempunyai pelbagai budaya dan meraikan bersama acara-acara seperti ini sejak bertahun-tahun dahulu. Kita perlu menghormati satu sama lain kerana perbezaan adat dan budaya dalam kalangan masyarakat merupakan aset berharga bagi negara.
"Jemaah Menteri sama sekali tidak bersetuju dengan sikap rasis dan ekstremis pihak tertentu kerana ia akan menjejaskan perpaduan kaum di negara ini," katanya hari ini.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Pusat Bandar Puchong 1 bertindak menurunkan sebahagian tanglung yang menjadi perhiasan sekolah bagi sambutan Tahun Baru Cina bakal disambut tidak lama lagi.
Yang Dipertuanya, Kuan Chee Heng berkata, tindakan tersebut diambil bagi meredakan keadaan selepas mendapat arahan daripada pengetua sekolah.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan tohmahan dilemparkan sebuah parti politik terhadap pihak sekolah yang mendakwa perhiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina dibuat di sekolah berlebihan dan mempunyai unsur keagamaan.