Permohonan jawatan ketua jurulatih Speedy Tigers dibuka esok

Iklan
MHC sedang mencari ketua jurulatih baharu untuk pasukan lelaki selepas kontrak Arulselvaraj tamat berikutan kemelut kelayakan ke Sukan Olimpik 2024. Foto FB MHC

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) sedang mencari ketua jurulatih baharu untuk pasukan lelaki selepas kontrak A Arulselvaraj tamat berikutan kemelut kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Notis kekosongan jawatan itu akan diiklankan menerusi laman web rasmi MHC pada Selasa, dan calon yang berminat mempunyai tujuh hari untuk menghantar permohonan mereka.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, ketua jurulatih baharu akan mengetuai kedua-dua pasukan senior dan remaja untuk kelayakan Olimpik berikutnya.

Majid Manjit berkata, ketua jurulatih baharu itu berkemungkinan besar memulakan tugas dalam tempoh sebulan selepas temuduga kerana mempunyai tugasan utama mempersiapkan Speedy Tigers bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 4 hingga 11 Mei depan, diikuti Piala Negara-Negara FIH pada 31 Mei hingga 9 Jun di Poland.

Iklan

Sementara itu, Majid Manjit berkata, jawatankuasa berkenaan telah memberi tempoh seminggu kepada Arulselvaraj untuk menyerahkan laporan terperinci berhubung kegagalan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Paris.

"Kita telah berbincang mengenai laporan yang dihantar oleh Arulsevaraj, tapi kita perlukan lebih terperinci mengenai situasi sebelum, semasa dan selepas kejohanan kelayakan (di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari).

Iklan

"Kita mahu beliau maklumkan mengenai prestasi pemain, prestasi perlawanan demi perlawanan, keadaan pemain dan kecederaan kerana dimaklumkan beberapa pemain cedera, jadi kami perlukan laporan itu," katanya.

Beliau berkata, Arulselvaraj juga boleh memohon kembali jawatan selaku ketua jurulatih sekiranya berminat.

Ketua Pegawai Eksekutif MHC, S Nishel Kumar berkata, dua calon dari Eropah telah menyatakan hasrat mereka untuk mengendali skuad kebangsaan.

MHC sebelum ini telah membubarkan kedua-dua pasukan senior dan remaja kebangsaan yang dibimbing Muhammad Amin Rahim selepas menduduki tempat ke-12 dalam saingan Piala Dunia Remaja 2023, tahun lepas. - Bernama