Seu Bock sah kembali latih skuad perseorangan lelaki senior kebangsaan

Iklan
Chong Wei (kanan) berkata, Seu Bock merupakan jurulatih yang memiliki banyak pengalaman termasuk pernah membimbingnya bergelar jaguh dunia suatu masa dahulu.

KETUA jurulatih perseorangan remaja lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock, sah kembali membimbing kem perseorangan lelaki senior kebangsaan.

Perkembangan tersebut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, dengan pengumuman lanjut mengenai struktur kejurulatihan baharu bakal dilakukan oleh Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

Chong Wei berkata, cadangan untuk jurulatih berpengalaman kembali ke pangkuan barisan perseorangan lelaki senior, diluluskannya selepas diutarakan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara Kenneth Jonassen.

"Coach Seu Bock, orang nampak memang dalam kejohanan (Terbuka Malaysia 2026) kali ini dia duduk di belakang (gelanggang). Saya rasa perkara ini kita tidak boleh sembunyikan daripada pihak media dan saya boleh sahkan beliau akan naik ke senior.

Iklan

"Perkara ini telah dibincangkan bersama Kenneth Jonassen kerana beliau mahu coach Seu Bock keluar semula ke pasukan kebangsaan untuk bantu beliau dan bekerjasama dengan beberapa jurulatih lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada hari terakhir Terbuka Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Chong Wei berkata, Seu Bock sememangnya merupakan jurulatih yang memiliki banyak pengalaman termasuk pernah membimbingnya bergelar jaguh dunia suatu masa dahulu, selain membuktikan sentuhannya mampu melonjakkan prestasi barisan junior sebelum ini.

Iklan

Jurulatih berusia 52 tahun itu, watak penting di sebalik kejayaan Chong Wei meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik masing-masing di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Selain mengemudi barisan perseorangan lelaki remaja pada Okt 2024, Seu Bock, yang menyertai BAM sejak 2002, pernah menggalas tugas sebagai pembantu kepada Datuk Misbun Sidek sebelum berperanan melatih Chong Wei pada 2011.

Sementara itu, Chong Wei berkata, BAM juga dijangka mengumumkan seramai enam jurulatih baharu bakal berkhidmat bersama badan induk sukan tersebut selepas ini.

"Majoritinya adalah rakyat tempatan, lebih ramai pemain tempatan. Ada juga dari luar negara, tetapi keutamaan pertama kami ialah jurulatih tempatan,” katanya.

Chong Wei berkata, penstrukturan semula kejurulatihan negara itu, turut menyaksikan pemain muda berusia 16 hingga 17 tahun yang memiliki potensi menyinar pada masa depan akan diserapkan ke barisan pemain senior, bagi kedua-dua kem perseorangan dan beregu. - Bernama