'Azizah hanya pilih satu pencen' - Anwar

Iklan
ANWAR

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan wakil rakyat yang mempunyai beberapa pencen dicadang memilih salah satu daripadanya untuk dinikmati.

Menurutnya, ada dalam kalangan wakil rakyat dan bekas wakil yang pernah menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun pun menteri yang mempunyai pencen tersendiri.

Iklan
Iklan

Anwar turut memberi contoh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pernah menjawat beberapa jawatan di dalam kerajaan.

"Azizah itu pencen sebagai doktor kerajaan, sebagai ADUN Selangor, ahli Parlimen dan tentunya seorang yang bertanggungjawab maklumkan kepada saya pagi tadi dia akan pilih hanya satu pencen," katanya ketika berucap menyempurnakan penutupan Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan berkenaan.

Sementara itu, Anwar turut membayangkan bahawa bakal calon pada pilihan raya umum (PRU) akan datang perlu menerima skim tanpa pencen untuk wakil rakyat.

Iklan

Menurutnya, cadangan pemansuhan skim pencen itu harus terpakai kepada ahli politik dan bukan sahaja penjawat awam.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan orang politik perlu dikecualikan tapi seperti biasa saya akan kemukakan pandangan ini tatkala kita mengkaji pemansuhan skim persaraan.

"Saya juga akan menyatakan bahawa yang ia juga harus terpakai kepada orang politik maknanya yang akan menjadi calon pada pilihan raya akan datang harus terima kenyataan bahawa skim mereka tidak termasuk pencen," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.

Pengumuman itu mencetuskan polemik apabila tindakan itu tidak dipersetujui kebanyakan rakyat dan pelbagai lapisan pemimpin politik.