Sampai masanya ahli politik kena tukar ‘langkah’

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian baru-baru ini.

BARU seminggu lebih masuk tahun baharu 2024, sudah kecoh semula dengan cerita panas politik. Langkah politik untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada seperti yang pernah berlaku sebelum-sebelum ini kembali menghangatkan landskap politik negara.

Langkah 2008, Langkah Kajang, Langkah Sheraton atau Langkah Dubai - kesemuanya hampir sama walaupun tak serupa iaitu boleh mencetuskan polemik politik dalam keadaan negara hampir stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Apabila timbul cerita terbaharu Langkah Dubai pada minggu lalu, ada segelintir rakyat berasa terkesan rentetan episod politik baharu yang dijangka berlaku sekali lagi.

Iklan
Iklan

Realitinya, rakyat Malaysia sudah muak dan tak mahu kemelut politik yang tak berkesudahan sejak lebih lima tahun lepas.

Ketika ini rakyat yang memilih pemimpin mereka pada pilihan raya lalu mahukan Yang Berhormat (YB) untuk fokus kepada tanggungjawab berkhidmat dan membela nasib penduduk di kawasan yang diwakili masing-masing.

Iklan

Rakyat mahu tahu apakah langkah kemajuan, langkah pembangunan atau langkah kebajikan yang YB-YB mereka rancang untuk kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), negeri serta negara, dan bukannya sibuk membuat kerja merampas kuasa.

Mereka mahu semua ahli politik menukar langkah masing-masing daripada ‘buang masa’ kejar politik kepentingan peribadi kepada iktikad membantu rakyat yang makin terhimpit dengan kelembapan ekonomi negara dan dunia ini.

Iklan

Ketepikan dahulu apa juga perancangan atau impian untuk melaksanakan langkah-langkah politik yang hanya menguntungkan segelintir pihak saja sedangkan majoriti rakyat terus dijadikan bahan taruhan secara tak langsung.

Turun padang, tinjau masalah rakyat, selesaikan isu-isu berbangkit baik di kawasan masing-masing mahupun negeri atau negara. Itulah langkah-langkah terbaik yang rakyat mahukan sekarang ini daripada wakil rakyat mereka. Bukannya asyik berangan nak jadi pemegang taruh kuasa. Yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Jadi, silalah muhasabah diri wahai semua orang politik di negara ini.