Dua lelaki dicari ceroboh rumah

Iklan
Tangkap layar video dashcam yang berjaya merakam kelibat dua lelaki keluar daripada pagar rumah mangsa dan melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Honda City berwarna merah di Taiping, Selasa lalu. Foto ihsan pembaca

TAIPING - Polis sedang mengesan dua lelaki disyaki menceroboh sebuah rumah di Taman Bukit Mas, di sini Selasa lalu.

Kelibat dua suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Honda City berwarna merah itu dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) sebelum tular di media sosial pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, satu laporan polis diterima daripada pengadu berusia 39 tahun pada hari kejadian.

"Dia menerima panggilan telefon daripada jiran menyatakan rumahnya dimasuki pencuri. Pengadu yang bergegas balik mendapati pintu pagar automatik berada dalam keadaan terbuka dan terdapat kesan umpil pada kunci pintu hadapan.

Iklan

"Namun, pemeriksaan di dalam rumah tiada barang yang hilang. Berdasarkan video dashcam milik jirannya, terdapat dua suspek tidak dikenali telah keluar dari pagar rumahnya dan menaiki kereta jenis Honda City," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, semakan pada nombor pendaftaran kenderaan terbabit didapati palsu atau kereta klon.

Iklan

"Pemeriksaan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping mendapati kenderaan sama berada dalam stor di Seri Kembangan, Selangor.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan penjenayah terlibat," katanya.

Razlam berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan.